Khamis, 2 Jun 2022 | 7:45am
UKHSA mengesan penyebaran kes cacar monyet dalam kalangan komuniti di England. - Foto REUTERS
UKHSA mengesan penyebaran kes cacar monyet dalam kalangan komuniti di England. - Foto REUTERS

Jangkitan cacar monyet dalam komuniti di England - UKHSA

LONDON: Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom (UKHSA) mengesan penyebaran kes cacar monyet dalam kalangan komuniti di England.

Penyakit virus ringan yang juga endemik di Barat dan Afrika itu difahamkan berjangkit menerusi kontak rapat.

Sehingga awal bulan lalu, kes yang jarang berlaku di luar Afrika itu dikaitkan selepas melakukan perjalanan ke negara berkenaan.

"Buat pertama kali, virus ini merebak daripada seorang individu kepada individu lain di England dan kita belum dapat mengenal pasti kaitannya dengan perjalanan ke negara endemik," menurut agensi itu.

Menurut UKHSA, majoriti daripada 132 kes cacar monyet di United Kingdom (UK) dikesan di London dengan 111 daripadanya membabitkan komuniti gay dan hanya dua kes membabitkan wanita.

Sehingga Selasa lalu, sebanyak 190 kes jangkitan virus itu disahkan di UK dengan 18 peratus daripadanya membabitkan perjalanan ke beberapa negara Eropah dalam tempoh 21 hari gejala penyakit berkenaan dilaporkan.

Buat masa ini, UKHSA memaklumkan penularan virus itu dikaitkan dengan premis gay, sauna dan penggunaan aplikasi janji temu di Britain serta di luar negara.

"Siasatan berterusan sedang dijalankan, namun setakat ini tiada satu faktor atau pendedahan yang dapat mengaitkan semua kes jangkitan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Wilayah Kesihatan Awam London, Kevin Fenton, berkata cacar monyet boleh menjangkiti sesiapa saja namun hasil saringan terkini mendapati ia dikesan dalam kalangan komuniti gay.

"Dengan penularan jangkitan baharu ini, risiko ketidaktentuan dan stigma amat besar," katanya.

Sehingga semalam, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan sebanyak 550 kes cacar monyet dikesan di 30 negara di luar Afrika. - REUTERS

Berita Harian X