Selasa, 31 Mei 2022 | 4:57pm
Gambar hiasan. - Foto REUTERS
Gambar hiasan. - Foto REUTERS

Cacar monyet tidak akan menjadi pandemik - WHO

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata penyebaran cacar monyet di luar negara benua Afrika sekarang tidak semestinya bermakna ia akan menjadi pandemik.

Agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu turut menegaskan tidak ada sebab untuk berasa panik terhadap virus yang menyebabkan penyakit teruk itu kerana penghidapnya boleh pulih dalam tempoh beberapa minggu.

Sejak Britain melaporkan kes pertama cacar monyet yang disahkan 7 Mei lalu, hampir 400 kes yang disyaki atau disahkan dilapor kepada WHO di sekitar 24 negara di mana virus itu bukan endemik.

Pakar cacar monyet WHO, Dr Rosamund Lewis, berkata pihaknya tidak terlalu bimbang mengenai ancaman virus berkenaan.

"Namun, adalah penting untuk mengambil langkah pantas bagi mengekang penyebarannya," katanya ketika ditanya sama ada virus itu mungkin mencetuskan satu lagi pandemik, semasa taklimat epidemiologi.

Penyakit cacar monyet membunuh berjuta-juta penduduk di seluruh dunia setiap tahun sebelum ia dihapuskan pada 1980.

Bagaimanapun, cacar monyet kurang teruk berbanding penyakit cacar dan kebanyakan penghidapnya akan pulih dalam masa tiga hingga empat minggu.

Gejala awal penyakit cacar monyet adalah demam panas, kelenjar limfa bengkak dan kesan melepuh ruam seperti yang dihidapi penghidap cacar air.

Pakar perubatan kini cuba mendapatkan kepastian mengapa virus itu merebak ke negara yang tidak pernah mempunyai kes cacar monyet dan mencari punca kenapa ia menjangkiti lelaki muda terutama golongan bawah usia 45 tahun.

Setakat ini, kebanyakan kes cacar monyet dikaitkan kepada lelaki yang melakukan hubungan sejenis, walaupun tiada bukti menunjukkan cacar monyet berjangkit menerusi hubungan seksual.

Penyelaras program jangkitan menerusi hubungan seksual WHO, Andy Seale, berkata cacar monyet bukan penyakit gay dan menegaskan virus itu boleh tersebar dalam mana-mana kumpulan jika bersesak dan bersentuhan.

Sementara itu, Ketua Persediaan dan Pencegahan Epidemik serta Pandemik WHO, Sylvie Briand, mengesahkan 'jangkitan pernafasan' juga berlaku.

Namun, katanya, masih belum jelas sama ada sebahagian besar jangkitan masih menerusi titisan atau tersebar menerusi udara.

"Masih banyak yang tidak kita ketahui," katanya pada satu taklimat epidemiologi. - AFP

Berita Harian X