Selasa, 31 Mei 2022 | 8:46am
Ketua Majlis Eropah, Charles Michel dan Presiden Suruhanjaya EU, Ursula von der Leyen di Sidang Kemuncak Khas mengenai Ukraine di Brussels, Belgium. - Foto EPA
Ketua Majlis Eropah, Charles Michel dan Presiden Suruhanjaya EU, Ursula von der Leyen di Sidang Kemuncak Khas mengenai Ukraine di Brussels, Belgium. - Foto EPA

EU setuju larang import minyak dari Russia

BRUSSELS: Pemimpin Kesatuan Eropah (EU) menyokong larangan terhadap import minyak dari Russia, selepas berjaya mencapai perjanjian dengan Hungary yang sebelum ini menentang tindakan yang dianggap sebagai hukuman terhadap Moscow kerana mencetuskan perang di Ukraine.

Kesatuan yang dianggotai 27 negara itu menghabiskan masa berminggu-minggu termasuk mengadakan rundingan 'tawar-menawar' mengenai cadangan sekatan keseluruhan terhadap produk minyak Russia, tetapi mendapat tentangan Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban.

Pemimpin EU yang bermesyuarat sempena Sidang Kemuncak Khas mengenai Ukraine di sini, bagaimanapun mencapai kesepakatan perjanjian untuk mengecualikan penghantaran bahan api menerusi saluran paip daripada larangan berkenaan.

"Persetujuan dicapai untuk melarang eksport minyak Russia ke EU. Ini serta-merta meliputi lebih dua pertiga daripada import minyak Russia sekali gus mengurangkan sumber besar pembiayaan untuk mesin perangnya," kata Ketua Majlis Eropah, Charles Michel menerusi Twitter semasa sidang kemuncak itu.

"Tekanan maksimum ke atas Russia untuk menghentikan perang," katanya.

Sementara itu, Presiden Suruhanjaya EU, Ursula von der Leyen, berkata langkah itu akan mengurangkan secara efektif kira-kira 90 peratus import minyak dari Russia ke negara EU menjelang akhir tahun ini.

Perdebatan mengenai enam pakej sekatan ekonomi terhadap Russia juga dikatakan menjejaskan perpaduan kesatuan itu dalam menghadapi serangan Kremlin ke atas Ukraine.

Michel berkata, pakej sekatan itu turut merangkumi menghentikan hubungan dengan bank terbesar Russia, Sberbank dari sistem SWIFT global, melarang tiga penyiar negara itu dan menyenaraihitamkan individu yang dipersalah atas jenayah perang.

Sementara itu, Presiden Ukraine, Volodymy Zelensky, berkata perpaduan teguh antara negara kesatuan itu adalah cara paling berkesan untuk berdepan Russia, sambil menekankan Kyiv menunjukkan betapa pentingnya perpaduan semasa memerangi pencerobohan Russia.

"Ia adalah umpama, jika sesiapa menembak peluru berpandu torpedo kepada sebuah kapal, ia mustahil untuk satu atau lebih (anak) kabin mempunyai harapan untuk terus terapung apabila yang lain lemas," katanya.

Zelensky juga berharap negara EU berkenaan yang menentang status pencalonan Kyiv ke dalam kesatuan itu akan mengubah fikiran masing-masing.

"Kami memenuhi semua kriteria yang diperlukan untuk meraih status ini," katanya. - AFP

Berita Harian X