Isnin, 30 Mei 2022 | 10:08am
Anggota tentera Ukraine terus diasak bertubi-tubi oleh tentera Russia di barisan hadapan di wilayah Donestk. - Foto REUTERS
Anggota tentera Ukraine terus diasak bertubi-tubi oleh tentera Russia di barisan hadapan di wilayah Donestk. - Foto REUTERS

Russia tingkatkan serangan di wilayah Donbas

KYIV: Tentera Ukraine berdepan serangan meriam bertubi-tubi semalam dari tentera Russia yang kini nekad meningkatkan serangan mereka untuk menawan Donbas merangkumi wilayah Luganks dan Donetsk.

Perdana Menteri Ukraine, Volodymyr Zelensky, berkata bandar di wilayah timur Luganks kini menjadi sasaran baharu kemaraan Moscow.

Menurutnya, serangan berterusan Russia memusnahkan semua infrastruktur kritikal di Sievierodonetsk iaitu bandar terbesar yang setakat ini masih dikuasai oleh Ukraine di Lugansk.

Pada masa sama, Zelensky memberi jaminan untuk melakukan segala-galanya bagi mengekang lebih banyak serangan dan mempertahankan negara itu.

"Kira-kira 90 peratus bangunan rosak dan lebih dua pertiga daripada perumahan bandar di sini musnah sepenuhnya ...telekomunikasi juga terputus.

"Menakluki Sievierodonetsk adalah matlamat asas mereka (Russia)... kami (Ukraine) akan melakukan yang termampu untuk menahan lebih banyak serangan," katanya melalui ucapan di televisyen.

Agensi berita RIA memetik kenyataan Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov, yang dilaporkan berkata, 'pembebasan' Donbas, yang termasuk wilayah Lugansk dan Donetsk, adalah 'keutamaan mutlak' untuk Russia.

Melalui muat naik di Facebook pula, tentera Ukraine di Donbas berkata, mereka kekal berada di bahagian pertahanan sepanjang hari semalam.

Difahamkan, tentera Russia menembak 46 orang awam di wilayah Donetsk dan Lugansk, membunuh sekurang-kurangnya tiga orang awam, mencederakan dua yang lagi selain memusnahkan atau merosakkan 62 bangunan awam.

Pertempuran untuk Sievierodonetsk, yang terletak di tebing timur Sungai Siverskyi Donets, kini menjadi tumpuan apabila Russia beroleh 'kemenangan' yang perlahan tetapi kukuh di bahagian negara yang berdekatan dengan sempadan Russia.

Selepas gagal mengambil ibu kota Kyiv pada fasa awal perang, Russia sedang berusaha untuk mengukuhkan cengkamannya ke atas Donbas, yang mana sebahagian besarnya sudah dikawal oleh pemisah disokong Moscow. - REUTERS

Berita Harian X