Isnin, 30 Mei 2022 | 7:43am
Gambar hiasan. - Foto REUTERS
Gambar hiasan. - Foto REUTERS

Cacar monyet ancaman 'sederhana' kepada kesihatan global - WHO

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata cacar monyet dianggap ancaman sederhana terhadap kesihatan global selepas mengambil kira jumlah kes di negara di mana ia jarang ditemui.

"Ancaman ini mungkin meningkat jika virus berkenaan mengambil kesempatan daripada kadar penularan sekarang untuk berubah menjadi patogen manusia.

"Jika ini berlaku, maka virus cacar monyet berpotensi tersebar dalam kalangan mereka yang berisiko tinggi dihidap penyakit teruk, umpamanya kanak-kanak kecil dan mereka yang lemah daya tahan penyakit," kata WHO.

Setakat 26 Mei lalu, 257 kes yang disahkan dan 120 lagi kes disyaki cacar monyet dilaporkan di 23 negara di mana penyakit itu bukan endemik tetapi WHO memaklumkan tiada kematian dilaporkan setakat ini.

Agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu juga berpendapat, kemunculan cacar monyet secara tiba-tiba di beberapa negara bukan endemik menunjukkan jangkitan sudah lama bermula dan meningkat sejak kebelakangan ini.

WHO menjangkakan lebih banyak kes akan dilaporkan apabila pemantauan penyakit di negara endemik dan bukan endemik bagi cacar monyet diperhebatkan.

Cacar monyet adalah penyakit berjangkit yang kesannya adalah ringan dan endemik di negara di wilayah barat dan tengah benua Afrika.

Ia tersebar menerusi kontak rapat dan mudah dicegah dengan mengamalkan pengasingan diri serta menjaga kebersihan diri.

Kebanyakan kes yang dilaporkan setakat ini dikesan di United Kingdom (UK), Sepanyol dan Portugal.

"Majoriti kes yang dilaporkan setakat ini tiada kaitan perjalanan ke kawasan endemik cacar monyet dan berlaku menerusi jangkitan tempatan atau hubungan seksual. - REUTERS

Berita Harian X