Ahad, 29 Mei 2022 | 8:15am
Bangunan Fakulti Ekonomi, Universiti Kebangsaan Karazin di Kharkiv, Ukraine yang musnah akibat bedilan artileri tentera Russia. - Foto AFP
Bangunan Fakulti Ekonomi, Universiti Kebangsaan Karazin di Kharkiv, Ukraine yang musnah akibat bedilan artileri tentera Russia. - Foto AFP

Keadaan di Ukraine amat 'sukar' - Zelensky

KRAMATORSK: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, menyifatkan keadaan di timur Ukraine sangat sukar kini apabila Russia mendakwa berjaya menawan bandar strategik Lyman selain mengepung pusat bandar Severodonetsk dalam serangan ke atas negara itu.

Zelensky menyatakan perkara itu dalam ucapannya semalam dengan menyifatkan wilayah Donbas dan Kharkiv antara yang paling terjejas.

"Keadaan ini amat sukar, terutamanya di kawasan di wilayah Donbas dan Kharkiv, di mana tentera Russia cuba membuat keputusan untuk kepentingan mereka sendiri," katanya.

Kenyataannya itu dibuat ketika Russia kini menjalani satu lagi latihan ketenteraan selepas berjaya menguji peluru berpandu hipersonik di Artik.

Pada masa sama, Zelenky berkata pihaknya yakin Ukraine akan memenangi peperangan itu jika mendapat sokongan sewajarnya.

"Ukraine pasti akan menang cuma persoalannya apa yang diperlukan untuk itu," katanya kepada stesen televisyen NOS.

Sementara itu, seorang pegawai Ukraine menafikan dakwaan Russia sudah mengepung Severodonetsk dengan menjelaskan bahawa kerajaan berjaya menghalau keluar tentera negara itu dari pinggir bandar utama berkenaan.

Selepas berdepan halangan dalam serangannya ke atas Kyiv dan Kharkiv, Russia melancarkan perang habis-habisan untuk Donbas Timur iaitu kawasan perindustrian Ukraine, di mana Zelensky  menuduh Moscow melakukan 'pembunuhan beramai-ramai'.

Menurut Kementerian Pertahanan Russia semalam, bandar Krasny Liman sudah bebas sepenuhnya daripada nasionalis Ukraine di mana pengumuman itu sudah dibuat sehari lebih awal oleh pemisah pro-Moscow.

Lyman terletak di jalan ke Severodonetsk dan Kramatorsk.

Tentera Rusia kini dilaporkan sudah berada hampir dengan Severodonetsk dan kawasan berdekatan, Lysychansk di wilayah Lugansk.

Gabenor wilayah, Sergiy Gaiday, berkata serangan Rusia berterusan di Severodonetsk, namun tentera Ukraine terus berjuang untuk mengusir pasukan negara itu dari hotel di kawasan pinggir bandar.

Agensi berita negara Russia, RIA Novosti, kelmarin memetik kenyataan seorang pegawai polis Lugansk bahawa Severodonetsk kini dikepung.

Namun, Gaiday menegaskan bahawa Severodonetsk tidak mengangkat bendera putih dan masih adanya ruang untuk penghantaran bantuan kemanusiaan.

Wakil rasmi wilayah semalam melaporkan kematian tiga orang awam di tangan tentera Russia, masing-masing seorang di bandar timur Bakhmut dan Avdiivka serta seorang lagi di bandar selatan Mykolaiv.

Serangan Russia terhadap Ukrain bermula pada 24 Februari lalu dan setakat ini sudah mengorbankan ribuan mangsa dari kedua-dua negara serta menyebabkan 6.6 juta penduduk melarikan diri.

Moscow dilaporkan menguasai bahagian timur dan selatan Ukraine, termasuk bandar pelabuhan Kherson serta Mariupol.

Kapal perang Russia berjaya menguasai Laut Hitam, sekali gus memutuskan hubungan pelabuhan Ukraine dengan menghalang bekalan bijirin di bawa keluar. - AFP

Berita Harian X