Selasa, 24 Mei 2022 | 9:43am
 Foto AFP
Foto AFP

EU harap dana tenaga selesai isu sekatan minyak Russia

BRUSSELS: Cadangan Kesatuan Eropah (EU) bagi menyokong infrastruktur minyak di negara anggota yang sangat bergantung kepada minyak mentah Russia seharusnya memberi peluang kepada negara berkenaan bersetuju dengan sekatan ke atas minyak Russia.

Pesuruhjaya Tenaga EU, Kadri Simson, berkata pihaknya membuat cadangan itu minggu lalu untuk menyokong infrastruktur minyak kepada negara yang mempunyai kebergantungan tinggi terhadap minyak mentah Russia.

Cadangan itu akan memberi peluang negara anggota bersetuju terhadap sekatan minyak Russia selepas Hungary menyuarakan bantahannya dan setakat ini menghalang kelulusan sebulat suara daripada kesemua 27 negara yang diperlukan untuk meluluskannya.

Dalam pakej cadangan yang dilancarkan minggu lalu, ia menunjukkan bagaimana EU boleh tidak bergantung kepada minyak mentah Russia menjelang 2027, yang mana Brussels menawarkan AS$2.1 bilion (RM9.22 bilion) untuk menyokong infrastruktur minyak bagi membantu Hungary, Czech Republik dan Slovakia bertukar bekalan.

Simson berkata suruhanjaya menunjukkan fleksibiliti melampau sehingga membenarkan pelaburan minyak fosil.

Katanya, fleksibiliti itu adalah perlu untuk memberi peluang kepada negara yang terikat untuk bersetuju dengan sekatan berkenaan.

Hungary, yang mempunyai kebergantungan tinggi terhadap minyak Russia, menyatakan negara itu memerlukan 750 juta euro (RM3.5 bilion) untuk pelaburan jangka pendek bagi menahan daripada embargo.

"Kami benar-benar cuba untuk memastikan tiada negara anggota yang akan berdepan isu keselamatan bekalan.

"Ini adalah sebab kenapa kami menambah rancangan RePowerEU ke dalam senarai projek saluran paip yang menawarkan alternatif kepada negara anggota terikat," katanya.

Simson berkata EU boleh menyokong untuk menaik taraf loji penapisan Hungary yang kini direka untuk hanya menerima minyak mentah Russia dan saluran paip membawa minyak dari Croatia.

Katanya, dua bilion euro (RM9.3 bilion) adalah sebahagian daripada keseluruhan pelaburan sebanyak 210 bilion euro (RM984 bilion) yang diperlukan untuk EU keluar daripada minyak mentah Russia, yang kebanyakan mereka menyasarkan tenaga bersih.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut bila blok itu akan mencapai persetujuan ke atas sekatan minyak.

Bagaimanapun beberapa kerajaan menggesa perjanjian sebelum sidang kemuncak pemimpin negara EU pada 30 Mei ini.

Kebanyakan negara EU akan melaksanakan sepenuhnya embargo minyak Russia beberapa bulan selepas pengangkatannya, manakala Hungary, Slovakia dan Czech Republik diberikan pengecualian untuk melaksanakan sekatan itu kemudian. - REUTERS

Berita Harian X