Selasa, 24 Mei 2022 | 6:19am
 Foto AFP
Foto AFP

Risiko cacar monyet merebak secara meluas sangat rendah

STOCKHOLM: Risiko cacar monyet merebak secara meluas dalam kalangan penduduk adalah sangat rendah dan penularan boleh dihentikan di luar negara endemik di Afrika Tengah dan Barat, kata pegawai kesihatan selepas kes dikesan di Eropah dan Amerika Utara, bulan ini.

Kurang daripada 200 kes yang disahkan dan disyaki direkodkan sejak awal Mei di Australia, Eropah dan Amerika Utara, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap penularan penyakit itu.

Walaupun cacar monyet dikenali selama 40 tahun, WHO berkata ia adalah pertama kali terdapat beberapa kes di banyak negara secara serentak dan dalam kalangan individu yang tidak mengunjungi kawasan endemik di Afrika.

Bagaimanapun agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu berkata wabak di negara bukan endemik boleh dikawal, sekali gus penularan cacar monyet daripada manusia kepada manusia dapat dihentikan.

Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC) Kesatuan Eropah (EU) juga mengurangkan kebimbangan mengenai penyebaran dalam kalangan orang ramai.

Cacar monyet, yang biasanya tidak membawa maut, boleh menyebabkan demam, sakit otot, nodus limfa bengkak, menggigil, keletihan dan ruam seperti cacar air pada tangan dan muka.

Virus ini boleh disebarkan melalui sentuhan dengan luka pada kulit atau titisan cecair badan daripada orang yang dijangkiti.

Tiada rawatan khusus tetapi gejala biasanya hilang selepas dua hingga empat minggu. Penyakit ini dianggap endemik di 11 negara Afrika.

Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden menegaskan pada Isnin "usaha tambahan" tidak diperlukan untuk mencegah penularan.

"Ini adalah situasi yang boleh dibendung, terutamanya di negara-negara yang mana kita melihat wabak ini berlaku di seluruh Eropah, di Amerika Utara juga," kata Ketua Teknikal WHO, Maria Van Kerkhove pada Isnin melalui saluran media sosial agensi kesihatan PBB.

"Kami mahu menghentikan penularan daripada manusia kepada manusia. Kita boleh lakukan ini di negara bukan endemik," katanya.

Sementara itu, Pengarah ECDC, Andrea Ammon, berkata kebanyakan kes mempunyai simptom ringan.

"Bagi kawasan penduduk yang lebih luas, kemungkinan penyebaran adalah sangat rendah," tambah Ammon dalam satu kenyataan.

"Bagaimanapun, kemungkinan penyebaran virus lebih luas melalui hubungan rapat, contohnya ketika aktiviti seksual dalam kalangan orang yang mempunyai banyak pasangan seksual, dianggap tinggi," katanya.

Pesuruhjaya Eropah untuk Kesihatan dan Keselamatan Makanan, Stella Kyriakides, berkata adalah penting untuk "kekal berwaspada" walaupun berisiko rendah, memastikan pengesanan kenalan dan kapasiti diagnostik yang mencukupi.

Menurut ECDC, virus itu boleh menyebabkan penyakit yang teruk dalam kalangan kumpulan tertentu seperti kanak-kanak kecil, wanita hamil dan orang yang mengalami imunosupresi.

Agensi itu juga menunjukkan risiko "transmisi manusia ke haiwan", dan berkata jika virus itu merebak kepada haiwan "terdapat risiko penyakit itu boleh menjadi endemik di Eropah." - AFP

Berita Harian X