Isnin, 23 Mei 2022 | 9:12pm
Sarjan Russia, Vadim Shishimarin berdiri dan mendengar kata-kata penterjemah dalam kotak defendan semasa perbicaraannya atas tuduhan jenayah perang kerana telah membunuh orang awam. - Foto AGENSI
Sarjan Russia, Vadim Shishimarin berdiri dan mendengar kata-kata penterjemah dalam kotak defendan semasa perbicaraannya atas tuduhan jenayah perang kerana telah membunuh orang awam. - Foto AGENSI

Askar Russia dijatuhi hukuman penjara seumur hidup

KYIV: Sebuah mahkamah Kyiv hari ini menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas seorang tentera Russia berusia 21 tahun, selepas didapati bersalah atas jenayah perang kerana membunuh orang awam.

Ia keputusan pertama terhadap tentera Moscow sejak pencerobohan mereka di Ukraine.

"Mahkamah mendapati (Vadim) Shishimarin bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup," kata hakim Sergiy Agafonov.

Shishimarin, berpangkat sarjan, sebelum ini mengaku di mahkamah, membunuh Oleksandr Shelipov berusia 62 tahun, dalam tempoh beberapa hari pertama serangan Kremlin di timur laut Ukraine.

Dia juga didapati bersalah atas pembunuhan terancang.

"Pembunuhan itu dilakukan dengan niat langsung. Shishimarin melanggar undang-undang dan adat perang," kata hakim Agafonov.

Tentera Russia itu memberitahu mahkamah minggu lalu yang dia menembak Shelipov di bawah tekanan askar lain ketika mereka cuba berundur dan melarikan diri untuk kembali ke Russia dengan kereta yang dicuri pada 28 Februari, hari keempat pencerobohan Moscow.

Shishimarin memohon maaf kepada balu Shelipov.

Peguam Shishimarin, Viktor Ovsyannikov berkata, beliau akan merayu keputusan itu. - AFP

Berita Harian X