Isnin, 23 Mei 2022 | 9:03am
 Foto AGENSI
Foto AGENSI

Perancis jangka keahlian EU untuk Ukraine 15 atau 20 tahun lagi

PARIS: Tawaran Ukraine untuk menyertai Kesatuan Eropah (EU) tidak akan dimuktamadkan dalam tempoh 15 atau 20 tahun lagi, sekali gus menolak harapan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky untuk menyertainya dengan segera.

Menteri Perancis untuk Hal Ehwal Eropah, Clement Beaune, berkata mereka perlu jujur dan sekiranya ada yang memberi harapan Ukraine akan menyertai EU dalam tempoh terdekat, ia adalah satu pembohongan.

"Ia mungkin dalam 15 atau 20 tahun atau mengambil masa yang lama.

"Saya tidak mahu menawarkan sebarang ilusi atau pembohongan kepada Ukraine," katanya, mengulangi tawaran Presiden Emmanuel Macron untuk mewujudkan komuniti politik Eropah yang lebih longgar yang boleh membantu mengintegrasikan Ukraine dengan blok itu lebih awal.

Berikutan itu, Zelensky mengecam kompromi sedemikian dan bersetuju dengan permulaan segera proses ke arah keahlian penuh EU.

Beaune berkata, cadangan Macron bukanlah alternatif untuk menyertai komuniti politik Eropah dan tidak menghalang keahlian di kemudian hari.

Jelasnya, di bawah rancangan Macron, mungkin terdapat peredaran bebas di Eropah dan ia boleh mendapat manfaat daripada belanjawan Eropah untuk pembinaan semula dan kebangkitan negara, masyarakat dan ekonominya.

Pada masa sama, pemimpin EU lain juga mengalu-alukan Ukraine, yang aspirasi pro-Baratnya dilihat sebagai sebab utama Presiden Russia, Vladimir Putin melancarkan pencerobohannya ke negara itu pada 24 Februari.

Bagaimanapun, inisiatif komuniti politik Eropah oleh Macron akan dibahaskan pada sidang kemuncak EU pada Jun ini. - AFP

Berita Harian X