Isnin, 23 Mei 2022 | 8:52am
 Foto AFP
Foto AFP

Kerajaan perlu bertindak segera tangani ketidaksamaan - Oxfam

LONDON: Kerajaan perlu mengambil tindakan segera bagi menangani peningkatan ketidaksamaan yang timbul berikutan krisis COVID-19 dengan lonjakan harga tenaga dan makanan meningkatkan tekanan ke atas jutaan penduduk dunia, kata Oxfam pada Isnin.

Laporan dikeluarkan badan amal yang berpangkalan di Nairobi ketika penggubal dasar dan ketua industri terkemuka tiba di Davos, Switzerland untuk mesyuarat tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF), mendapati bilangan jutawan meningkat sebanyak 573 kepada hanya di bawah 2,700 dari 2020.

Badan amal yang menganalisis data daripada Forbes mendapati kekayaan terkumpul individu berkenaan meningkat hampir AS$3.8 trilion (RM16.68 trilion) kepada AS$12.7 trilion (RM55.74 trilion).

Sementara itu, gabungan COVID-19, peningkatan ketidaksamaan dan kenaikan harga makanan boleh mendorong 263 juta orang ke dalam kemiskinan tegar pada 2022, kata Oxfam.

"Jutaan penduduk dunia menghadapi krisis kos sara hidup akibat kesan berterusan pandemik dan kos keperluan yang semakin meningkat, termasuk makanan dan tenaga," kata pengarang laporan itu.

"Ketidaksamaan sudah melampau sebelum COVID-19, kini telah mencapai tahap baharu."

Harga makanan, yang telah meningkat lebih tinggi ketika pandemik akibat gangguan COVID-19 dan masalah cuaca, melonjak lebih tinggi apabila pencerobohan Russia ke atas Ukraine menjejaskan bekalan bijirin dan minyak.

Bank Dunia mentakrifkan golongan miskin tegar sebagai mereka yang berpendapatan kurang daripada AS$1.90 (RM8.34) sehari.

"Satu-satunya tindakan paling mendesak dan struktur yang mesti diambil oleh kerajaan ialah melaksanakan langkah percukaian yang sangat progresif yang seterusnya mesti digunakan untuk melabur dalam langkah yang berkuasa dan terbukti mengurangkan ketidaksamaan, seperti perlindungan sosial sejagat dan penjagaan kesihatan sejagat," menurut laporan itu.

WEF yang berpangkalan di Geneva berkata pertemuan itu yang diadakan buat kali pertama dalam tempoh lebih dua tahun akibat COVID-19, akan mengumpulkan lebih 2,000 pemimpin dan pakar dari seluruh dunia, lebih kecil berbanding beberapa mesyuarat lalu. - REUTERS

Berita Harian X