Isnin, 23 Mei 2022 | 6:48am
 Foto NSTP/Danial Saad
Foto NSTP/Danial Saad

Pengeluar ubat syor tindak balas pandemik untuk negara miskin

FRANKFURT: Pengeluar ubat global sedang melobi negara kaya untuk membiayai mekanisme bekalan vaksin kepada negara berpendapatan rendah tanpa tertangguh sekiranya pandemik baharu tercetus.

Bagaimanapun mereka mengakui cadangan itu bergantung kepada perdagangan bebas rentas sempadan.

Persekutuan Pengilang dan Persatuan Farmaseutikal Antarabangsa (IFPMA) dalam satu kenyataan berkata pengedaran vaksin pandemik global perlu diletakkan di landasan baharu berikutan negara miskin terpaksa menunggu suntikan ketika pandemik.

"Industri bersedia untuk menyediakan peruntukan pengeluaran masa nyata bagi pengagihan kepada populasi keutamaan di negara berpendapatan rendah, seperti yang ditentukan oleh pihak berkuasa kesihatan ketika pandemik," kata Ketua Pengarah IFPMA, Thomas Cueni.

Perdebatan global mengenai tindak balas yang lebih baik terhadap pandemik penyakit sedang rancak apabila menteri-menteri kesihatan akan bertemu di Geneva minggu ini untuk menghadiri perhimpunan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dengan perkongsian vaksin antara agenda yang akan dibincangkan dalam pertemuan itu.

Dalam perkembangan lain, kumpulan negara G20 bersetuju dengan dana berbilion dolar untuk persediaan pandemik yang akan ditubuhkan di luar WHO.

Cueni berkata mekanisme perolehan memerlukan pembiayaan oleh negara berpendapatan tinggi dan hanya boleh berfungsi jika bahan dan produk siap boleh dihantar tanpa halangan dalam rantaian bekalan global.

"Kami komited untuk bekerjasama dengan kerajaan dan semua pihak berkepentingan untuk membantu memastikan sistem kesediaan dilaksanakan dan dikekalkan pada masa hadapan," kata Cueni.

Halangan perdagangan menimbulkan kesulitan ketika pandemik COVID-19 yang kini memasuki tahun ketiga. Antara halangannya, pengeluar utama India melarang eksport vaksin untuk sebahagian besar pada 2021, manakala Akta Pengeluaran Pertahanan AS, yang mengutamakan tindak balas krisis domestik, memperlahankan penghantaran peralatan global untuk pembuat vaksin.

Kemudahan perkongsian vaksin COVAX telah ditubuhkan untuk menjamin agihan di negara-negara miskin tetapi ia diatasi oleh usaha pemerolehan negara yang lebih kaya, sekali gus meninggalkan negara lain.

"COVAX tidak dibiayai dengan secukupnya atau diuruskan dengan cepat untuk menjamin perjanjian pembelian awal untuk dos yang setanding dengan pembeli negara berpendapatan tinggi," kata kumpulan pelobi IFPMA. - REUTERS

Berita Harian X