Jumaat, 20 Mei 2022 | 5:48pm
Gambar hiasan. - Foto REUTERS
Gambar hiasan. - Foto REUTERS

Laman sesawang kerajaan Itali jadi sasaran serangan siber

ROM: Beberapa laman sesawang institusi dan kementerian Itali didakwa menjadi sasaran serangan siber penggodam pro Russia.

Setakat jam 8 pagi waktu tempatan, laman sesawang Kementerian Luar dan Persatuan Majistret Kebangsaan masih belum dapat diakses.

Kumpulan keselamatan siber Itali, Yarix, berkata serangan siber itu bermula pada jam 10 malam semalam oleh sekumpulan penggodam dikenali Killnet.

Serangan sama turut berlaku pada 11 Mei lalu dan polis sebelum ini dilaporkan berjaya mematahkan serangan siber ketika pertandingan Eurovision Song di Turin yang berakhir pada Sabtu lalu dengan kemenangan berpihak kepada peserta Ukraine.

Polis mengaitkan kedua-dua serangan itu dengan kumpulan Killnet dan sekutunya, Legion.

Sejak Russia menceroboh Ukraine pada 24 Februari lalu, kebanyakan kerajaan Barat meningkatkan tahap amaran dan menjangkakan kemungkinan serangan siber terhadap sistem teknologi maklumat (IT) serta infrastrukturnya.

Russia bagaimanapun menafikan sebarang operasi siber dilakukan pihaknya. - REUTERS

Berita Harian X