Jumaat, 20 Mei 2022 | 12:36pm
(Gambar fail) Antara kemusnahan di wilayah Odesa, Ukraine, akibat peperangan. - FOTO REUTERS
(Gambar fail) Antara kemusnahan di wilayah Odesa, Ukraine, akibat peperangan. - FOTO REUTERS

Donbas musnah sepenuhnya - Presiden Ukraine

KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy mendakwa tentera Russia telah 'memusnahkan sepenuhnya' wilayah perindustrian, Donbas, selain menuduh pasukan Moscow melancarkan pengeboman yang 'tidak masuk akal' ketika meningkatkan serangan.

Zelenskiy turut menuduh tentera Russia cuba membunuh seramai mungkin rakyat Ukraine dan melakukan sebanyak mungkin kemusnahan, di samping mengulangi dakwaan bahawa Russia melaksanakan genosid.

Ketika tentera Ukraine terus bergelut untuk membebaskan wilayah Kharkiv di timur Kyiv, Zelenskiy mendakwa, Russia berusaha memberi lebih banyak tekanan di Donbas yang terletak di tenggara negara ini.

"Keadaan di sana umpama neraka. Berlaku serangan berterusan di wilayah Odesa, di bandar tengah Ukraine. Donbas telah musnah sepenuhnya.

"Ini adalah cubaan jenayah yang sengaja dilakukan untuk membunuh seramai mungkin rakyat Ukraine, serta memusnahkan sebanyak mungkin kediaman, kemudahan sosial dan perusahaan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu ucapan melalui video, malam tadi, sambil mendakwa 12 individu terbunuh dalam 'serangan bom yang ganas dan tidak masuk akal' ke atas Severodonetsk.

Sementara itu, Ketua Turus Angkatan Tentera Ukraine memaklumkan, Russia meningkatkan serangan di Donetsk.

Gabenor Donetsk, Pavlo Kyrylenko pula mendakwa lima orang awam terkorban di wilayah itu, semalam.

"Pihak musuh memusnahkan semua infrastruktur awam, termasuk di kawasan yang jauh dari barisan hadapan perang," katanya melalui siaran televisyen tempatan.

Bagaimanapun, Reuters tidak dapat mengesahkan maklumat itu, setakat ini. Sebelum ini, Moscow telah menafikan serangannya menyasarkan orang awam. - REUTERS

Berita Harian X