Jumaat, 20 Mei 2022 | 7:53am
(Gambar fail - hiasan) EU sedang giat meneliti cara untuk menggunakan aset golongan oligarki Russia yang dibekukan, bagi membiayai pembinaan semula Ukraine selepas peperangan. - FOTO AFP
(Gambar fail - hiasan) EU sedang giat meneliti cara untuk menggunakan aset golongan oligarki Russia yang dibekukan, bagi membiayai pembinaan semula Ukraine selepas peperangan. - FOTO AFP

EU mahu bantu Ukraine guna aset beku oligarki Russia

BERLIN: Kesatuan Eropah (EU) sedang giat meneliti cara untuk menggunakan aset golongan oligarki Russia yang dibekukan, bagi membiayai pembinaan semula Ukraine selepas peperangan.

Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, berkata peguam blok itu kini berusaha secara intensif untuk mencari jalan berhubung perkara terbabit.

"Saya berpendapat Russia juga harus menyumbang (bagi pembinaan semula Ukraine)," katanya kepada saluran televisyen ZDF, semalam.

Kelmarin, suruhanjaya terbabit mengusulkan pinjaman mencecah sembilan bilion euro (kira-kira RM41.9 bilion) kepada Ukraine bagi membantu kelangsungan negara itu yang bergelut menangkis pencerobohan Russia dan mahu membina semula kemudahannya selepas peperangan.

Dalam pada itu, Von der Leyen berkata, beliau juga cenderung menggandingkan aspek pembinaan semula Ukraine bagi jangka panjang, dengan pembaharuan yang diperlukan untuk negara berkenaan menyertai EU.

Beliau menjelaskan, ada piawaian tertentu yang perlu dipenuhi untuk menjadi ahli EU, termasuk dari segi kedaulatan undang-undang, ekonomi dan politik.

"Proses penyertaan itu banyak bergantung pada tingkah laku dan tindakan negara calon.

"Ukraine mahu menyertai EU walau apapun, yang bermakna motivasi begitu besar untuk melakukan pembaharuan yang diperlukan.

"Kita akan perlu membiayai bersama pembinaan semula Ukraine. Adalah wajar menangani aspek pembaharuan pada masa sama, misalnya membanteras rasuah atau membina kedaulatan undang-undang," katanya. - REUTERS

Berita Harian X