Khamis, 19 Mei 2022 | 8:06pm
Polis menahan suspek menembak di Bremerhaven, Jerman, 19 Mei 2022. - Foto AGENSI
Polis menahan suspek menembak di Bremerhaven, Jerman, 19 Mei 2022. - Foto AGENSI

Insiden tembakan di sekolah cederakan seorang mangsa, suspek ditahan

FRANKFURT: Tembakan yang dilepaskan di sebuah sekolah di Jerman hari ini, mencederakan seorang mangsa di bandar utara Bremerhaven, menurut polis, sambil menambah mereka juga sudah menahan lelaki yang disyaki bersenjata itu.

Polis dalam kenyataannya berkata, insiden berlaku di Gimnasium Lloyd, sebuah sekolah menengah di pusat Bremerhaven.

"Suspek bersenjata itu sudah ditangkap dan berada dalam tahanan polis," katanya turut memaklumkan mangsa tercedera itu bukan pelajar dan sudah dibawa ke hospital.

"Pelajar berada di dalam bilik darjah bersama gurunya. Polis memantau keadaan di lapangan dan ia terkawal," kata kenyataan itu.

Kes tembakan di sekolah jarang berlaku di Jerman, sebuah negara yang mempunyai beberapa undang-undang senjata api yang paling ketat di eropah, namun insiden ini membimbangkan penduduk.

Polis Bremerhaven menerusi ciapan di Twitternya berkata, pemeriksaan besar-besaran sedang dijalankan di pusat bandar dan meminta penduduk mengelak mengunjungi dataran Mayor-Martin-Donandt dan jalan di sekitar sekolah menengah Lloyd.

Minggu lalu, penyiasat di bandar Essen, Jerman berkata mereka menggagalkan cubaan serangan bom di sekolah, selepas menahan seorang remaja berusia 16 tahun yang disyaki merancang serangan pengganas Nazi.

Polis di Essen menyerbu bilik remaja itu, membawanya ke dalam tahanan di rumahnya, sebelum menemui 16 bom paip serta bahan anti-Semitik dan anti-Muslim.

Pada Januari, seorang pelajar berusia 18 tahun melepaskan tembakan di dewan kuliah di Universiti Heidelberg di barat daya Jerman, membunuh seorang wanita muda dan mencederakan tiga yang lain.

Pada 2009, seorang bekas murid membunuh sembilan pelajar, tiga guru dan tiga orang dalam insiden tembakan sekolah di Winnenden, di negeri Baden-Wuerttemberg, Jerman.

Lelaki bersenjata itu kemudian membunuh diri.

Pada 2002, seorang bekas pelajar berusia 19 tahun, kelihatan cuba membalas dendam kerana dibuang kerja, menembak mati 16 orang termasuk 12 guru dan dua pelajar di sebuah sekolah di bandar Erfurt di tengah Jerman.

Dia juga kemudian membunuh diri.

Negara itu pada masa ini menetapkan mereka di bawah 25 tahun yang mahu memohon lesen senjata api, perlu lulus terlebih dulu peperiksaan psikiatri. - AFP

Berita Harian X