Khamis, 19 Mei 2022 | 2:07pm
Anggota tentera Ukraine di kilang besi Azovstal di Mariupol yang menjadi tawanan perang tentera Russia bersedia untuk dipindahkan. - Foto REUTERS
Anggota tentera Ukraine di kilang besi Azovstal di Mariupol yang menjadi tawanan perang tentera Russia bersedia untuk dipindahkan. - Foto REUTERS

Lebih ramai pejuang Ukraine menyerah di Mariupol

KYIV: Hampir 700 lagi tentera Ukraine menyerah diri di bandar Mariupol yang kini dikuasai Russia.

Ukraine mengarahkan pasukan tenteranya di Mariupol untuk berundur, namun hasil pertempuran berdarah di Eropah dalam tempoh beberapa dekad lalu itu masih tidak dapat diselesaikan.

Komander tertinggi pejuang Ukraine yang membuat pertahanan terakhir di loji besi Azovstal di bandar pelabuhan masih berada di sana, namun pegawai Ukraine enggan mengulas mengenai nasib pejuangnya.

Ukraine mengesahkan lebih 250 pejuang menyerah diri tetapi tidak menyatakan berapa ramai masih berada di dalam kawasan dikuasai Russia.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan Russia berkata sejumlah 265 militan Ukraine termasuk 51 yang cedera parah, menyerah diri kepada tentera Russia.

Selain itu, 694 lagi anggota Ukraine turut menyerah diri, menjadikan jumlah keseluruhan 959 tawanan tentera Ukraine.

Kementerian Pertahanan Russia turut memuat naik video menunjukkan pejuang Ukraine menerima rawatan selepas menyerah diri di Azovstal.

Dalam perkembangan lain, Suruhanjaya Tinggi bagi Pelarian, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) berkata lebih enam juta pelarian sudah meninggalkan Ukraine selain 7.7 juta lagi penduduk Ukraine kehilangan tempat tinggal. - REUTERS

Berita Harian X