Khamis, 19 Mei 2022 | 12:28pm
beberapa pemimpin negara Kesatuan eropah (EU) bergambar ketika menghadiri sidang kemuncak Laut Utara mengenai kuasa angin sebagai sumber tenaga baharu, di barat Denmark baru-baru ini. - Foto AFP
beberapa pemimpin negara Kesatuan eropah (EU) bergambar ketika menghadiri sidang kemuncak Laut Utara mengenai kuasa angin sebagai sumber tenaga baharu, di barat Denmark baru-baru ini. - Foto AFP

Eropah rancang pelan 210 bilion euro tangani krisis tenaga

BRUSSELS: Suruhanjaya Eropah (EC) menyelaras strategi bernilai 210 bilion euro (RM971 bilion) bagi menamatkan pergantungan terhadap bahan api Russia menjelang 2027.

Dana berkenaan juga akan dimanfaatkan bagi mempercepatkan peralihan negara anggota Kesatuan Eropah (EU) kepada tenaga hijau.

Pencerobohan Ukraine oleh Russia, pembekal utama gas ke Eropah, mendorong EU untuk memikirkan semula dasar tenaganya di tengah kebimbangan mengenai kejutan bekalan bahan tenaga.

Russia membekalkan 40 peratus gas kepada blok itu dan 27 peratus import minyak negara EU, yang kini bergelut untuk bersetuju dengan sekatan ke atas kedua-dua bahan tenaga itu.

Untuk mengurangkan kebergantungan negara EU kepada bahan tenaga dari Russia, Brussels akan mencadangkan pelan serampang tiga mata.

Ini termasuk peralihan kepada mengimport lebih banyak gas bukan Russia, peralihan tenaga boleh diperbaharui yang lebih pantas dan lebih banyak usaha menjimatkan tenaga, menurut deraf dokumen yang dilihat Reuters.

Langkah itu juga termasuk gabungan undang-undang EU, skim tidak terikat dan cadangan yang boleh diambil pemerintah masing-masing.

Secara keseluruhan, negara EU menjangka mereka memerlukan 210 bilion euro (RM971 bilion) dalam pelaburan tambahan, dengan EU merancang mendapatkannya melalui pembebasan lebih banyak dana program pemulihan COVID-19.

Ini akhirnya akan mengurangkan berbilion euro yang dibelanjakan negara Eropah bagi import bahan api fosil setiap tahun.

Pelan itu menggariskan lonjakan import jangka pendek bagi bekalan gas bukan Russia, dengan adanya potensi untuk meningkatkan import gas asli cecair dari negara termasuk Mesir, Israel dan Nigeria serta prasarana yang diperlukan untuk beralih daripada Russia.

Tambahan pula, permintaan gas Eropah dijangka merosot kira-kira satu pertiga menjelang 2030 di bawah sasaran EU untuk memerangi perubahan iklim.

Cadangan itu dijangka menggariskan matlamat untuk menghasilkan 10 juta tan hidrogen boleh diperbaharui menjelang 2030 dan mengimport 10 juta tan lagi, yang boleh digunakan untuk menggantikan gas dalam industri.

Bahagian lain pakej itu termasuk undang-undang dinaik taraf yang menawarkan permit lebih mudah diperoleh bagi beberapa projek tenaga angin dan solar, untuk mengurangkan kelewatan pemberian permit yang sebelum ini membantutkan projek seumpamanya.

Skim EU baru untuk melancarkan projek tenaga suria berskala besar juga akan membantu mengurangkan kuasa bahan api gas dan pemanasan di rumah, pejabat dan kilang, dengan menghendaki anggota negara memanfaatkan tenaga suria di semua bangunan awam baru mulai 2025.

Sebelum ini, Presiden Russia, Vladimir Putin, berkata adalah mustahil bagi sesetengah negara Eropah untuk segera mengetepikan sepenuhnya bekalan minyak dari Russia, seperti yang dicadangkan EU.

Beliau berkata, dengan mengambil langkah itu, Eropah berisiko membayar harga bahan tenaga paling mahal di dunia dalam jangka panjang manakala daya saing industrinya akan terjejas. - REUTERS

Berita Harian X