Rabu, 18 Mei 2022 | 9:20am
Presiden Perancis, Emmanuel Macron. - Foto REUTERS
Presiden Perancis, Emmanuel Macron. - Foto REUTERS

Penghantaran senjata ke Ukraine akan dipergiatkan - Macron

PARIS: Presiden Perancis, Emmanuel Macron memaklumkan bahawa penghantaran senjata ke Ukraine akan dipergiatkan dalam tempoh beberapa hari, selain bersedia bagi memberi maklum balas terhadap sebarang permintaan bantuan tambahan oleh rakan sejawatnya.

Pejabat Presiden Elysee dalam satu kenyataan selepas Macron menghubungi Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy menerusi telefon turut mengesahkan bahawa penghantaran senjata dari Perancis akan diteruskan dan dipergiatkan dalam masa terdekat.

Minggu lalu, Perancis membekalkan 13 kenderaan untuk perkhidmatan kecemasan dan menyediakan 800 tan bantuan kemanusiaan sejak Russia melancarkan pencerobohannya ke atas Ukraine.

Menurut kenyataan itu lagi, kedua-dua presiden berbincang mengenai jaminan keselamatan yang boleh disediakan oleh Perancis bagi menghormati integriti wilayah Ukraine.

Kedua-dua pemimpin turut berbincang mengenai kaedah yang membolehkan Ukraine menyambung semula eksport bijirin yang disekat dan menjadi kebergantungan sebahagian besar dunia.

Macron berkata, permohonan menganggotai Kesatuan Eropah (EU) yang dikemukakan Ukraine beberapa minggu lalu, akan diteliti oleh negara anggota pada sidang kemuncak Jun ini.

Beliau turut mengulangi idea yang dibangkitkan minggu lalu mengenai penubuhan "komuniti politik" baharu di luar EU bagi memudahkan integrasi Ukraine.

Zelenskiy bagaimanapun menggesa untuk persetujuan keahlian diberikan dengan segera, iaitu proses yang kebiasaannya dijalankan selama beberapa tahun.

Macron berkata, proses untuk mendapatkan keahlian akan mengambil masa beberapa dekad.

Sementara itu, Russia akan menentang bidaan Ukraine, minggu ini, untuk menyertai EU dan menyatakan ia adalah sama seperti memohon keahlian Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). - REUTERS

Berita Harian X