Rabu, 18 Mei 2022 | 8:19am
Kereta kebal tentera Russia mengiringi bus membawa pejuang Ukraine yang menyerah diri di loji keluli Azovstal di Mariupol. - Foto REUTERS
Kereta kebal tentera Russia mengiringi bus membawa pejuang Ukraine yang menyerah diri di loji keluli Azovstal di Mariupol. - Foto REUTERS

Pejuang Ukraine di Mariupol serah diri

MARIUPOL: Lebih 250 pejuang Ukraine menyerah diri kepada tentera Russia di loji keluli Azovstal di Mariupol, selepas memberi tentangan dan cuba mematahkan serangan pihak musuh selama beberapa minggu.

Tindakan itu sekali gus menamatkan pertempuran antara yang paling lama sejak Russia menceroboh di Ukraine Februari lalu, dan membenarkan Presiden Vladimir Putin, menuntut kemenangan luar biasa terhadap kempennya yang semakin merosot.

Konvoi bas dilihat meninggalkan loji besi itu dengan diiringi kenderaan berperisai Russia.

Lima bas tiba di bandar Novoazovsk, yang ditawan Russia, di mana Moscow berkata tentera pejuang Ukraine yang cedera akan dirawat.

Pejuang Ukraine yang menyerah diri selepas beberapa minggu bertempur di loji keluli Azovstal, di bawa ke pusat tahanan di Donetsk. - Foto REUTERS
Pejuang Ukraine yang menyerah diri selepas beberapa minggu bertempur di loji keluli Azovstal, di bawa ke pusat tahanan di Donetsk. - Foto REUTERS

Kremlin, berkata Putin secara peribadi memberi jaminan bahawa tawanan perangan akan dilayan mengikut piawaian antarabangsa dan pegawai Ukraine akan ditukar dengan tahanan Russia.

Saksi Reuters bagaimanapun berkata, tujuh bas membawa pejuang Ukraine dari Azovstal, tiba di penjara yang baru dibuka di bandar Olenivka berdekatan Donetsk.

Agensi berita TASS, berkata jawatankuasa Russia bercadang untuk menyoal tentera, yang kebanyakannya adalah ahli batalion Azov, sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap apa yang digelar Moscow sebagai "rejim jenayah Ukraine".

Penawanan sepenuhnya Mariupol adalah kejayaan terbesar Russia sejak pencerobohannya pada 24 Februari lalu.

Bagaimanapun bandar pelabuhan itu hanya tinggal runtuhan dan Ukraine percaya puluhan ribu orang terbunuh akibat bedilan Russia selepas beberapa bulan.

Russia berkata, sekurang-kurangnya 256 pejuang Ukraine meletakkan senjata dan menyerah diri, termasuk 51 yang cedera parah.

Video Menteri Pertahanan Russia menunjukkan pejuang meninggalkan loji, sesetengahnya dibawa keluar di atas pengusung dan yang lain mengangkat tangan untuk diperiksa oleh tentera Ukraine.

Timbalan Menteri Pertahanan Ukraine, Hanna Malyar pula berkata, Kyiv tidak akan mendedahkan jumlah pejuang yang masih berada di dalam sehingga semua mereka selamat.

Tentera Ukraine berkata, unitnya di Azovstal sudah menyelesaikan misi tempur mereka.

Timbalan Perdana Menteri Ukraine, Iryna Vereshchuk berkata Kyiv menyasarkan untuk melakukan pertukaran tahanan bagi mereka yang tercedera sebaik saja situasi menjadi stabil, namun kedua-dua pihak enggan mendedahkan terma bagi sebarang perjanjian spesifik. - REUTERS

Berita Harian X