Selasa, 17 Mei 2022 | 1:34pm
Pekerja memantau kerosakan pada bangunan kediaman yang dibom tentera Russia di daerah Kyivskyi, Kharkiv, Ukraine. - Foto REUTERS
Pekerja memantau kerosakan pada bangunan kediaman yang dibom tentera Russia di daerah Kyivskyi, Kharkiv, Ukraine. - Foto REUTERS

10 maut serangan terbaru di timur Ukraine

KYIV: Sekurang-kurangnya 10 terbunuh dalam serangan terbaru di Severodonetsk, timur Ukraine, ketika bandar itu hampir dikepung oleh tentera Russia.

Perkara itu dimaklumkan Gabenor wilayah Lugansk, Sergiy Gaiday, semalam.

"Tentera Russia membedil Severodonetsk tanpa henti," katanya dalam kenyataan di Telegram.

Justeru, beliau juga menggesa penduduk tempatan untuk tidak meninggalkan tempat perlindungan.

"Sekurang-kurangnya 10 terbunuh. Adalah sangat sukar untuk memeriksa kawasan itu disebabkan bedilan baru," katanya.

Semalam, Ukraine bersiap siaga dengan serangan baharu Russia di wilayah Donbas, ketika Kyiv memaklumkan serangan balasnya di Kharkiv berjaya memperoleh momentum.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, berkata pihaknya sedang bersedia untuk berdepan cubaan terbaru Russia untuk menyerang wilayah itu, dalam usaha Moscow menambah kemajuan di selatan Ukraine.

Sejak kegagalan Russia menawan Kyiv ketika permulaan pencerobohan pada hujung Februari lalu, kawalan di Donbas menjadi antara objektif utama Moscow.

Bagaimanapun, perisikan Barat menjangkakan kempen ketenteraan Russia akan tersekat berikutan mereka berdepan kekalahan teruk dan tentangan sengit Ukraine

Severodonetsk adalah bandar paling timur yang masih di bawah kawalan Ukraine, dan jika bandar itu berjaya ditumbangkan, Kremlin bakal mengawal Lugansk, iaitu satu daripada dua wilayah dalam Donbas. - AFP

Berita Harian X