Isnin, 16 Mei 2022 | 3:20pm
Sejak kegagalan Russia menawan Kyiv ketika permulaan pencerobohan pada hujung Februari lalu, kawalan di Donbas menjadi antara objektif utama Moscow. - Foto REUTERS
Sejak kegagalan Russia menawan Kyiv ketika permulaan pencerobohan pada hujung Februari lalu, kawalan di Donbas menjadi antara objektif utama Moscow. - Foto REUTERS

Ukraine siap siaga hadapi serangan baharu Russia di Donbas

KYIV: Ukraine hari ini bersiap siaga dengan serangan baharu Russia di wilayah Donbas, ketika Kyiv memaklumkan serangan balasnya di Kharkiv berjaya memperoleh momentum.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, berkata pihaknya sedang bersedia untuk berdepan cubaan baharu Russia untuk menyerang wilayah itu, dalam usaha Moscow menambah kemajuan di selatan Ukraine.

"Penceroboh ini masih enggan mengakui bahawa mereka sudah berada di jalan buntu dan 'operasi khas' ini sudah bankrap," katanya.

Sejak kegagalan Russia menawan Kyiv ketika permulaan pencerobohan pada hujung Februari lalu, kawalan di Donbas menjadi antara objektif utama Moscow.

Bagaimanapun, perisikan Barat menjangkakan kempen ketenteraan Russia akan tersekat berikutan mereka berdepan kekalahan teruk dan tentangan sengit Ukraine.

Dalam pada itu, penasihat kepada Presiden Ukraine, Oleksiy Arestovich, berkata tentera Russia sedang dipindahkan menuju ke arah Donbas, selepas mereka berundur dari Kharkiv susulan serangan balas Ukraine.

Penasihat Menteri Dalam Negeri Ukraine, Vadim Denisenko, pula memaklumkan tentera Kyiv mencatat kemajuan yang banyak di wilayah utara sehingga menghampiri sempadan Russia, namun siren serangan udara masih dibunyikan di bandar Kharkiv hari ini.

Arestovich menegaskan, tentera Russia yang sedang berundur itu sedang bergerak menuju ke arah Lugansk.

"Matlamat mereka adalah untuk menawan Severodonetsk. Ada sesuatu yang tidak menjadi pada mereka," katanya.

Severodonetsk adalah bandar paling timur yang masih di bawah kawalan Ukraine, dan jika bandar itu berjaya ditumbangkan, Kremlin bakal mengawal Lugansk, iaitu satu daripada dua wilayah dalam Donbas. - AFP

Berita Harian X