Isnin, 16 Mei 2022 | 2:22pm
Pegawai kesihatan Eropah menyenaraikan dua strain Omicron yang pertama kali dikesan di Afrika Selatan, BA.4 dan BA.5 sebagai varian membimbangkan (VOC). - Foto AGENSI
Pegawai kesihatan Eropah menyenaraikan dua strain Omicron yang pertama kali dikesan di Afrika Selatan, BA.4 dan BA.5 sebagai varian membimbangkan (VOC). - Foto AGENSI

Eropah senaraikan subvarian BA.4, BA.5 sebagai VOC

LONDON: Pegawai kesihatan Eropah menyenaraikan dua strain Omicron yang pertama kali dikesan di Afrika Selatan, BA.4 dan BA.5 sebagai varian membimbangkan (VOC).

Klasifikasi itu dibuat susulan subvarian Omicron berkenaan berupaya mengelak daripada perlindungan imuniti vaksin dan berkemungkinan menguasai kes COVID-19 Eropah menjelang musim panas.

Pusat Pencegahan Penyakit dan Kawalan Eropah (ECDC) dalam laporan menyatakan, subvarian BA.4 dan BA.5 boleh menyebabkan lonjakan kes jangkitan COVID-19 di seluruh benua sekaligus meningkatkan jumlah kemasukan ke hospital dan penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU).

Memetik laporan Daily Mail, agensi kesihatan awam Kesatuan Eropah (EU) menggalakkan semua negara untuk 'kekal berwaspada' terhadap sebarang tanda kemunculan subvarian Omicron terbabit.

Malah, ECDC juga menggalakkan golongan berusia lebih 80 tahun menerima suntikan penggalak kedua.

Agensi itu turut menggalakkan negara-negara Eropah merangka pelan untuk individu berusia lebih 60 tahun dan kumpulan terdedah lain untuk menerima dos penggalak kedua.

BA.4 dan BA.5 pertama kali dikesan di Afrika Selatan masing-masing pada Januari dan Februari lalu.

Sejak itu, kedua-dua subvarian terbabit menjadi strain dominan di negara itu, manakala BA.5 pula dijangka menjadi varian paling biasa di Portugal menjelang 22 Mei nanti.

Sementara itu, laporan ECDC juga menyatakan pada masa ini `tiada tanda sebarang perubahan dalam kadar keterukan jangkitan bagi BA.4 dan BA.5 berbanding sub-varian Omicron sebelum ini.

"Kehadiran subvarian ini boleh menyebabkan peningkatan keseluruhan yang ketara dalam kes COVID-19 di EU dalam tempoh beberapa minggu dan bulan akan datang," jelas laporan itu. - AGENSI

Berita Harian X