Ahad, 15 Mei 2022 | 3:20pm
Keadaan di kawasan pinggiran Kharkiv. - FOTO EPA
Keadaan di kawasan pinggiran Kharkiv. - FOTO EPA

Ukraine lancar serangan balas berhampiran Izium

KYIV: Tentera Ukraine dilapor melancarkan serangan balas berhampiran bandar Izium yang ditawan Russia di timur Ukraine.

Perkara itu dimaklumkan oleh gabenor wilayah, semalam, dalam perkembangan yang dilihat berkemungkinan akan menjejaskan perancangan Moscow untuk menguasai keseluruhan wilayah Donbas.

Tentera Russia menumpukan sebahagian besar kuasa senjata mereka ke atas Donbas dalam 'fasa kedua' pencerobohan, selepas gagal mara ke Kyiv dari utara sepanjang tempoh beberapa minggu awal peperangan.

Namun, Ukraine menguasai semula wilayah di timur laut, sekali gus memaksa tentera Russia keluar dari bandar kedua terbesar, Kharkiv.

Kementerian Pertahanan Russia mendakwa, pasukannya membedil beberapa lapangan tentera termasuk di Donbas, yang mengorbankan sekurang-kurang 100 'nasionalis' Ukraine, namun Reuters tidak dapat mengesahkan laporan itu.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy, berkata situasi di Donbas kekal amat sukar, dan tentera Russia masih berusaha mencapai kemenangan di sana.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Orkestra Kalush daripada Ukraine memenangi pertandingan nyanyian Eurovision di Itali, semalam.

Ia sekali gus menunjukkan sentimen awam Eropah yang memihak kepada Ukraine sejak Russia melancarkan serangannya.

Ukraine mendapat tempat keempat berdasarkan undian juri, namun sokongan penonton melonjakkan kedudukan negara itu ke tempat pertama.

"Keberanian kami mengagumkan dunia, muzik kami menawan Eropah!

"Ukraine akan menjadi tuan rumah pertandingan nyanyian Eurovision, tahun depan," kata Zelenskiy menerusi satu mesej dalam talian.

Secara tradisi, pemenang Eurovision akan menjadi tuan rumah acara itu pada tahun berikutnya. - REUTERS.

Berita Harian X