Jumaat, 13 Mei 2022 | 5:39pm
Bangunan Gazprom di Moskovsky Prospekt di St Petersburg, Russia. - Foto EPA
Bangunan Gazprom di Moskovsky Prospekt di St Petersburg, Russia. - Foto EPA

Moscow mula sekat bekalan gas ke Eropah

LONDON: Moscow melaksanakan sekatan ke atas saluran paip Yamal milik Poland yang membawa gas Russia ke Eropah, selain saluran paip Jerman bagi penghantaran gas ke Eropah, yang dibekalkan pengeluar Russia, Gazprom.

Kesemua entiti itu, yang disenaraikan di laman sesawang pemerintah Russia, sebahagian besarnya berpangkalan di negara yang mengenakan sekatan ke atas Russia kerana menceroboh Ukraine, kesemuanya negara anggota Kesatuan Eropah (EU).

Kesan sepenuhnya daripada langkah ke atas negara berkenaan, yang membeli satu pertiga keperluan gas dari Russia, belum dapat dirasai setakat ini.

Aliran gas Russia ke Eropah melalui Ukraine jatuh 25 peratus selepas Kyiv menghentikan penggunaan laluan transit utama, menyalahkan gangguan disebabkan pencerobohan tentera Russia, buat pertama kali sejak konflik bermula.

Ukraine kekal sebagai laluan transit utama untuk gas Russia ke Eropah walaupun selepas Moscow melancarkan apa yang dipanggil 'operasi ketenteraan khas'.

Titik transit yang sudah ditutup itu biasanya mengendalikan kira-kira lapan peratus daripada aliran gas Russia ke Eropah.

Gazprom, yang dikawal Kremlin dan mempunyai monopoli ke atas eksport gas Russia melalui saluran paip, berkata ia masih menghantar gas ke Eropah melalui Ukraine tetapi jumlahnya hanya 72 juta meter padu sekarang, turun daripada 95.8 meter padu sebelum ini.

GTSOU, yang mengendalikan sistem gas Ukraine, semalam berkata ia akan menangguhkan aliran gas melalui titik transit Sokhranivka, yang dikatakan menghantar hampir satu pertiga bahan api yang disalurkan dari Russia ke Eropah melalui Ukraine.

Katanya, ia mengisytiharkan klausa 'force majeure', yang digunakan apabila perniagaan dilanda sesuatu di luar kawalannya dan akan mengalihkan penghantaran Eropah ke laluan lain iaitu pintu masuk Sudzha, yang terbesar daripada dua titik persimpangan Ukraine.

Saluran paip gas melalui titik Sokhranivka melalui wilayah Lugansk di Ukraine, yang sebahagiannya dikawal oleh pejuang pemisah pro-Russia manakala Sudzha terletak lebih jauh ke barat laut.

Gazprom, pada Selasa lalu berkata, adalah 'tidak mungkin dari segi teknologi' untuk mengalihkan semua gas terbabit ke laluan Sudzha, seperti yang dicadangkan oleh GTSOU.

Data yang diberikan oleh Gazprom kelmarin mencadangkan hanya Sudzha digunakan. - AGENSI

Berita Harian X