Khamis, 12 Mei 2022 | 12:27pm
Elon Musk. - Foto REUTERS
Elon Musk. - Foto REUTERS

Komander Ukraine rayu Elon Musk bantu penduduk terperangkap di Mariupol

KYIV: Seorang komander Ukraine di Mariupol merayu secara terus kepada individu terkaya di dunia, Elon Musk, semalam meminta beliau campur tangan bagi pihak mereka yang terperangkap oleh tentera Russia yang mengawal bandar selatan itu.

Peperangan sejak tiga bulan lalu memusnahkan pelabuhan strategik itu, dengan rakyat Ukraine mengekalkan penentangan daripada dalam loji keluli di Azovstal, selepas berminggu pertempuran berdarah berlaku.

Serhiy Volyna, komander Briged Marin Berasingan ke-36, berkata beliau membuka akaun Twitter semata-mata untuk menghubungi Musk.

"Orang ramai mengatakan anda datang dari planet lain untuk mengajar mereka mempercayai perkara yang mustahil.

"Planet kita bersebelahan kerana saya tinggal di tempat yang hampir mustahil untuk bertahan. Bantu kami keluar dari Azovstal ke negara pengantara. Jika bukan anda, siapa lagi?," kata Volyna melalui ciapan kepada Musk.

Beliau meminta 'setiap orang di planet Bumi' untuk membantu memastikan Musk melihat rayuan berkenaan.

Awal minggu ini, Kyiv berkata, lebih 1,000 tenteranya kebanyakannya cedera kekal di loji Azovstal yang luas dengan berlindung di rangkaian kubu dan terowong era Soviet daripada Russia yang kini menguasai Mariupol.

Wanita, kanak-kanak dan warga emas sudah dipindahkan daripada kawasan yang dikepung itu sebagai sebahagian daripada misi kemanusiaan yang diselaraskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Palang Merah.

Twitter, yang ingin dibeli Musk dalam perjanjian bernilai AS$44 bilion, menyaksikan lonjakan jumlah pengguna akibat perang di Ukraine, dengan orang ramai menggunakan perkhidmatan media sosial itu untuk mencari berita dan sokongan, demikian menurut syarikat berkenaan.

Musk, yang mempunyai lebih 92 juta pengikut sebelum ini menggunakan platform itu untuk mencabar Presiden Russia, Vladimir Putin untuk 'pertempuran tunggal' ke atas Ukraine.

Bulan lalu, ketua Tesla kelahiran Afrika Selatan berkenaan memberi maklum balas kepada rayuan Ukraine untuk perkhidmatan internet, dengan mengaktifkan perkhidmatan jalur lebar satelit Starlink miliknya dan menghantar peralatan untuk membantu membawa sambungan ke kawasan yang diserang tentera Russia. - AFP

Berita Harian X