Rabu, 11 Mei 2022 | 6:59am
Avril Haines. - Foto AFP
Avril Haines. - Foto AFP

AS beri amaran Russia sedia lanjutkan tempoh perang di Ukraine

KYIV: Amerika Syarikat (AS) memberi amaran Presiden Russia, Vladimir Putin, bersedia untuk tempoh perang yang panjang di Ukraine dan tidak akan berhenti setakat di Donbas yang menjadi medan tempur ketika ini.

Pengarah Perisikan Kebangsaan AS, Avril Haines, berkata Putin tidak akan menamatkan perang itu di Donbas dan mendakwa Presiden Russia itu bertekad membina jambatan darat ke wilayah yang dikawal Russia di Moldova.

Perisikan AS juga percaya Putin berkemungkinan akan mengerahkan seluruh negaranya, termasuk melaksanakan undang-undang tentera, dan berharap kegigihan itu akan memaksa Barat mengalah daripada terus membantu Ukraine.

"Kami menjangkakan Putin sedang bersedia melanjutkan konflik di Ukraine, yang mana beliau masih bertekad untuk mencapai matlamat melampaui Donbas," katanya pada Selasa.

Jangkaan Washington itu dibuat ketika Ukraine menegaskan keanggotaannya dalam Kesatuan Eropah (EU) adalah membabitkan persoalan 'perang dan keamanan' untuk seluruh benua itu.

Ketika berperang melawan kemaraan Russia di bahagian timur, Kyiv memuji tindakan Jerman yang mengubah pendirian mengenai embargo minyak Russia dan penghantaran senjata ke Ukraine.

Keganasan masih terus berlaku di Ukraine dengan tembakan peluru berpandu berterusan sepanjang malam di pelabuhan Odessa, manakala pihak berkuasa memaklumkan kira-kira 1,000 tentera terperangkap di kilang besi Azovstal di Mariupol.

Russia menceroboh Ukraine sejak 24 Februari lalu, namun tentera Ukraine berjaya bertahan dan memaksa Moscow berundur dari Kyiv, dengan konflik itu kini memasuki bulan ketiga.

Dalam ucapannya ketika perarakan ketenteraan di Moscow kelmarin, Putin memberi bayangan mengenai perancangannya dengan menegaskan tentera Russia hanya mempertahankan negara dan menuding jari pada Barat sebagai punca konflik itu.

Dalam pada itu, serangan peluru berpandu masih diteruskan di kubu kuat paling timur di Ukraine di bandar Severodonetsk dan Lysychansk, dengan wartawan AFP melihat deretan trak Ukraine bergerak keluar dari Severodonetsk, Isnin lalu.

Di selatan, beberapa serangan peluru berpandu di Odessa semalaman memusnahkan bangunan, mencetus kebakaran di sebuah pusat beli-belah dan meragut satu nyawa, hanya beberapa jam selepas lawatan Presiden Majlis Eropah, Charles Michel.

Ukraine mendesak negara Barat memberi lebih banyak bantuan, khususnya terhadap Jerman yang perlahan dalam bertindak dan mahu terus bergantung dengan bekalan tenaga Russia.

Namun pendirian Jerman itu mula berubah semalam, apabila Menteri Luar Jerman, Annalena Baerbock mengadakan lawatan mengejut ke Bucha, sebuah bandar di pinggir Kyiv, lokasi tentera Russia didakwa melakukan jenayah perang.

Pada masa sama, diplomat kanan Ukraine, Dmytro Kuleba menggesa EU untuk menerima keanggotaan Ukraine, selepas Presiden Perancis, Emmanuel Macron memaklumkan penyertaan Ukraine ke dalam blok itu dijangka mengambil tempoh berpuluh tahun.

"Saya ingin tegaskan bahawa keanggotaan Ukraine dalam EU adalah membabitkan soal perang dan keamanan di Eropah," katanya pada satu sidang media di Kyiv. - AFP

Berita Harian X