Isnin, 9 Mei 2022 | 7:24am
Negara G7 menyatakan komitmen untuk mengurangkan kebergantungan pada minyak Russia. - Foto AGENSI
Negara G7 menyatakan komitmen untuk mengurangkan kebergantungan pada minyak Russia. - Foto AGENSI

Negara G7 ikrar henti import minyak Russia

WASHINGTON: Kumpulan Tujuh Negara (G7) menyatakan komitmen untuk mengurangkan kebergantungan pada minyak Russia, selain mendakwa Presiden Russia, Vladimir Putin 'memalukan' negara itu dengan menceroboh Ukraine.

Kenyataan daripada Perancis, Kanada, Jerman, Itali, Jepun, Britain dan Amerika Syarikat (AS) itu tidak memperincikan komitmen yang akan dilakukan setiap negara untuk mengurangkan kebergantungan itu.

Namun, kenyataan itu adalah perkembangan penting dalam kempen berterusan untuk mendesak Putin dengan melumpuhkan ekonomi Russia, serta menunjukkan penyatuan komuniti antarabangsa menentang tindakan Moscow.

"Kami komited untuk mengurangkan kebergantungan pada tenaga Russia, termasuk mengurang atau melarang import minyak Russia.

"Kami akan memastikan ia dilaksanakan secara teratur dan dalam tempoh tertentu, dan menerusi kaedah yang memberi ruang untuk dunia mendapatkan bekalan alternatif," kata kenyataan bersama itu.

"Ini akan memberi kesan secara langsung terhadap ekonomi Russia dan menafikan keuntungan yang diperlukan untuk mendanai perangnya," kata Rumah Putih.

Pengumuman itu dibuat ketika G7 mengadakan mesyuarat ketiga tahun ini menerusi sidang video semalam, yang turut dihadiri Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky.

Setakat ini, negara Barat menunjukkan kerjasama rapat dalam mengumumkan sekatan terhadap Russia, namun tidak bergerak secara bersama dalam pendirian terhadap minyak dan gas Russia.

AS yang bukan pengguna utama hidrokarbon Russia, sudah pun mengenakan larangan import itu, namun Eropah masih amat bergantung pada minyak Russia.

Sebelum ini, Kesatuan Eropah (EU) menyasarkan untuk mengurangkan kebergantungan pada gas Russia sebanyak dua pertiga tahun ini, namun Jerman membantah gesaan melaksanakan boikot secara penuh, dan negara anggota EU masih meneruskan rundingan semalam.

G7 turut menyelar Putin atas tindakannya di Ukraine, dan menegaskan tindakan Presiden Russia menerusi perang yang dimulakan tanpa provokasi di Ukraine, memalukan Russia dan pengorbanan rakyat negara itu.

"Russia melanggar aturan antarabangsa yang berteraskan undang-undang, khususnya Piagam Bangsa-Bangsa Bersatu yang digubal selepas Perang Dunia Pertama, untuk memastikan generasi seterusnya tidak terbabit dalam perang," kata kenyataan itu. - AFP

Berita Harian X