Ahad, 8 Mei 2022 | 7:23am
Pengarah Kecemasan WHO, Mike Ryan. - Foto REUTERS
Pengarah Kecemasan WHO, Mike Ryan. - Foto REUTERS

WHO kumpul bukti dakwa Russia serang kemudahan kesihatan

KYIV: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sedang mengumpul bukti siasatan jenayah perang terhadap serangan Russia yang dikatakan sudah didokumenkan mengenai kemudahan penjagaan kesihatan di Ukraine.

Pengarah Kecemasan WHO, Mike Ryan, dalam lawatan tanpa pengumuman bersama ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, memberitahu sidang media di sini, bahawa adalah menjadi tanggungjawab pihak bertelagah untuk mengelak daripada menyerang kemudahan kesihatan, namun WHO sudah mendokumenkan 200 serangan ke atas hospital dan klinik di negara itu.

"Serangan yang disengajakan ke atas kemudahan penjagaan kesihatan adalah pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan oleh itu - berdasarkan penyiasatan dan atribusi serangan berkenaan adalah jenayah perang dalam apa jua keadaan.

"Kami terus mendokumentasikan dan menjadi saksi kepada serangan ini... dan kami percaya bahawa sistem Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa serta pihak lain akan mengambil siasatan yang diperlukan untuk menilai niat jenayah di sebalik serangan ini," kata Ryan.

Russia menafikan tuduhan sebelum ini oleh Ukraine dan negara Barat mengenai kemungkinan jenayah perang dan juga menafikan menyasarkan orang awam dalam perang.

Ryan berkata, 200 kes itu tidak mewakili keseluruhan serangan terhadap kemudahan perubatan Ukraine, hanya kes yang sudah disahkan oleh WHO.

Kyiv berkata, terdapat kira-kira 400 serangan sedemikian sejak Russia menyerang Ukraine pada 24 Februari.

Sementara itu, Tedros memberitahu sidang akhbar yang sama: "Mesej saya kepada semua rakyat Ukraine ialah: 'WHO berdiri di sisi anda' ... Kami terus menggesa Russia untuk menghentikan perang ini.

Negara anggota WHO pada Selasa ini akan mempertimbangkan resolusi terhadap Russia yang termasuk kemungkinan penutupan pejabat wilayah utama di Moscow, dokumen yang diperoleh Reuters pada Khamis lalu.

Draf resolusi itu turut pertimbangkan untuk menggantung Russia daripada Lembaga Agensi Kesihatan Global PBB, serta pembekuan sementara hak mengundinya, kata tiga sumber diplomatik dan politik.

Draf itu, disediakan sebahagian besarnya oleh diplomat EU dan diserahkan kepada pejabat serantau WHO untuk Eropah minggu ini, berikutan permintaan Ukraine yang ditandatangani oleh sekurang-kurangnya 38 ahli lain termasuk Turki, Perancis dan Jerman.

Moscow menggelar tindakannya sejak 24 Februari lalu sebagai 'operasi ketenteraan khas' untuk melucutkan senjata Ukraine dan menyingkirkannya daripada apa yang dipanggil nasionalisme anti-Rusia yang didorong oleh Barat. Ukraine dan Barat berkata Russia melancarkan perang pencerobohan tanpa provokasi. - REUTERS

Berita Harian X