Khamis, 5 Mei 2022 | 4:05pm
Ketua Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, berucap pada sidang pleno Parlimen Eropah di Strasbourg, Perancis. - Foto AFP
Ketua Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, berucap pada sidang pleno Parlimen Eropah di Strasbourg, Perancis. - Foto AFP

Ketua EU cadang sekat import minyak Russia

STRASBOURG: Negara anggota Kesatuan Eropah (EU) akan berhenti mengimport minyak dan produk ditapis dari Russia sebagai langkah memastikan sekatan dipatuhi.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, dalam rancangan sekatan pusingan keenam terhadap Moscow kerana melancarkan operasi ketenteraan di Ukraine.

"Di bawah rancangan sekatan ini, kami akan menghentikan pembelian bekalan minyak mentah Russia secara berperingkat dalam tempoh enam bulan manakala produk ditapis pula menjelang akhir tahun ini.

"Ini akan menjadi larangan import sepenuhnya ke atas semua minyak Russia sama ada melalui laut, saluran paip, mentah atau ditapis.

"Saya sedar ia bukan mudah kerana beberapa negara anggota sangat bergantung pada minyak Russia, namun kita perlu berusaha untuk mencari pilihan lain," katanya di Parlimen Eropah.

Menurut von der Leyen, cadangan sekatan itu memerlukan sokongan sebulat suara 27 anggota negara EU untuk melaksanakannya.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan sekatan dikenakan ke atas bank terbesar Russia, Sberbank dan dua bank utama lain dengan menyekat akses dalam sistem pembayaran antarabangsa SWIFT. - REUTERS

Berita Harian X