Ahad, 1 Mei 2022 | 10:35am
Pelakon Hollywood, Angelina Jolie, yang juga duta khas bagi agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), bergambar bersama kanak-kanak mangsa perang di Lviv, Ukraine. - Foto EPA
Pelakon Hollywood, Angelina Jolie, yang juga duta khas bagi agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), bergambar bersama kanak-kanak mangsa perang di Lviv, Ukraine. - Foto EPA

Angelina Jolie kunjungi Ukraine, bertemu mangsa perang

LVIV: Pelakon Hollywood, Angelina Jolie, semalam melawat bandar Lviv, Ukraine bagi berjumpa orang ramai yang kehilangan tempat tinggal susulan perang dengan Russia.

Beliau yang juga duta khas bagi agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), bagaimanapun terpaksa bergegas meninggalkan lawatan itu selepas siren serangan udara kedengaran.

Jolie, 45, melawat Ukraine ketika lebih 12.7 juta orang atau 30 peratus penduduk negara itu kini sudah meninggalkannya sejak pencerobohan Russia pada 24 Februari lalu.

Ketika melawat stesen berkenaan, Jolie sempat berjumpa dengan pasukan sukarelawan yang berkhidmat dengan mereka yang kehilangan tempat tinggal dan diberitahu setiap pakar psikiatri yang bertugas bercakap dengan kira-kira 15 orang sehari.

Ramai dalam kalangan mereka yang berada di stesen itu adalah kanak-kanak berumur dua hingga 10 tahun, menurut sukarelawan.

"Mereka tentunya dalam keadaan terkejut ... saya tahu bagaimana trauma memberi kesan kepada kanak-kanak.

"Hanya dengan seseorang menunjukkan betapa pentingnya mereka, betapa bernilai suara mereka dan saya tahu ini proses penyembuhan untuk mereka," katanya.

Ketika berada di salah satu pusat perlindungan stesen, hatinya tersentuh melihat keriangan seorang kanak-kanak yang berpakaian gaun merah, tertawa dengan gembira dan sempat bergambar dengan sukarelawan serta beberapa kanak-kanak.

Kemudian, siren serbuan udara mula berbunyi, membuatkan Jolie dan pembantunya bergegas keluar daripada stesen dan masuk ke dalam kereta yang menunggunya.

Bulan lalu, dalam peranannya sebagai utusan khas, Jolie melawat Yaman, di mana berjuta-juta orang kehilangan tempat tinggal akibat peperangan. - REUTERS

Berita Harian X