Ahad, 1 Mei 2022 | 7:40am
Gambar satelit terbaru menunjukkan bangunan pangsapuri yang musnah teruk terkena bedilan peluru berpandu Russia di wilayah Livoberezhnyi di bandar pelabuhan di Laut Hitam, Mariupol. - Foto AFP
Gambar satelit terbaru menunjukkan bangunan pangsapuri yang musnah teruk terkena bedilan peluru berpandu Russia di wilayah Livoberezhnyi di bandar pelabuhan di Laut Hitam, Mariupol. - Foto AFP

Russia tingkatkan serangan di timur, selatan Ukraine

DOBROPILLIA: Russia lancar serangan peluru berpandu di seluruh selatan dan timur Ukraine yang berterusan sejak kelmarin, kata pihak berkuasa Ukraine hari ini.

Sebilangan wanita dan kanak-kanak dipindahkan dari kilang keluli di bandar Mauripol yang sudah dikepung selepas mereka dilaporkan berlindung di kawasan itu selama lebih seminggu, selepas Russia setuju membuka koridor selamat.

Moscow kini mengalihkan tumpuannya ke arah selatan dan timur Ukraine selepas gagal menawan ibu kota, Kyiv, dalam serangan selama sembilan minggu yang memusnahkan bandar, membunuh ribuan orang awam dan memaksa lebih lima juta penduduk melarikan diri ke luar negara.

Tenteranya menawan bandar Kherson yang terletak di selatan, memberikan mereka tempat bertapak hanya kira-kira 100 kilometer (km) di utara Crimea, kebanyakan anggota tentera juga sudah menduduki Mariupol, bandar pelabuhan timur yang strategik di Laut Azov.

Russia mengisytiharkan kemenangan di Mariupol pada 21 April lalu, dengan beratus-ratus askar dan orang awam Ukraine berlindung di dalam kilang keluli Azovstal.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa perjanjian pemindahan sementara semalam (Sabtu) dan seorang pejuang Ukraine mengesahkan kira-kira 20 wanita dan kanak-kanak berjaya dikeluarkan.

"Kami sedang mengeluarkan orang awam daripada runtuhan termasuk orang tua, wanita dan kanak-kanak," kata pejuang, Sviatoslav Palamar sambil merujuk kepada runtuhan yang berkeluasan empat km persegi di kilang berkenaan.

Katanya, kedua-dua pihak, Russia dan Ukraine menghormati gencatan senjata tempatan kali ini dan beliau berharap orang awam akan dipindahkan ke bandar Zaporizhzhia, di barat laut Ukraine .

Setakat ini, tiada ulasan daripada Russia atau PBB mengenai pemindahan itu tetapi menurut pegawai Ukraine, beratus-ratus orang Ukraine masih berlindung dalam loji itu.

Menurut gabenor wilayah Odesda, Maksym Marchenko, bahagian barat bandar setakat ini tidak terjejas dalam serangan peluru berpandu Russia dari Crimea, yang dilaporkan memusnahkan landasan di lapangan terbang utama tetapi tiada yang cedera.

Sementara itu menurut tentera Ukraine, lapangan terbang itu sudah tidak dapat digunakan.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy, dalam ucapan video lewat malam tadi, berikrar untuk membangunkan semula lapangan terbang itu sambil mengatakan Odesa tidak akan melupakan perbuatan Russia ke atasnya.

Serangan Moscow di selatan sebahagiannya bertujuan menghubungkan kawasan itu dengan Crimea kerana ia mendesak untuk mengawal sepenuhnya wilayah Donbas di timur Ukraine.

Sebahagian daripada dua wilayah Donbas, Lugansk dan Donetsk, sudah dikawal oleh pemisah yang disokong Russia sebelum pencerobohan Moscow pada 24 Februari.

Dalam ucapannya, Zelenskiy berkata Russia sedang mengumpul pasukan tambahan untuk 'serangan baharu terhadap tenteranya di timur negara itu' dan 'berusaha meningkatkan tekanan di Donbas'.

Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov, berkata penarikan semula sekatan Barat ke atas Moscow adalah sebahagian daripada rundingan, tetapi perunding kanan Ukraine Mykhailo Podolyak menafikan perkara ini berlaku.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden sedang berusaha mendapatkan bantuan berjumlah AS$33 bilion (RM143.67 bilion) untuk Kyiv termasuk bantuan AS$20 bilion (RM87.07 bilion).

Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, pula semalam mengatakan negaranya akan terus 'memberi peralatan yang diperlukan Ukraine untuk mempertahankan diri'.

Di bandar Dobropillia di Donetsk, serangan semalam memusnahkan tingkap di bangunan pangsapuri dan meninggalkan kawah besar di halaman.

Russia pula melaporkan lebih banyak serangan Ukraine ke atas wilayahnya semalam, yang memusnahkan sebahagian terminal minyak Russia.

Pegawai Russia di wilayah Bryansk yang bersempadan dengan Ukraine dan Belarus, berkata pertahanan udara berjaya menghalang pesawat Ukraine memasuki wilayahnya.

Sementara itu, menurut Gabenor Kursk, Roman Starovoit, selatan Bryansk yang terletak bersempadan Ukraine turut menjadi sasaran beberapa peluru berpandu yang dilepaskan dari Ukraine ke arah pusat pemeriksaan Russia, namun tiada kemalangan jiwa atau kerosakan. - REUTERS

Berita Harian X