Jumaat, 29 April 2022 | 12:43pm
 Duit siling ruble Russia. - Foto AFP
Duit siling ruble Russia. - Foto AFP

Penggunaan mata wang Russia untuk bekalan gas cetus kekeliruan

BRUSSELS: Negara Kesatuan Eropah (EU) berusaha memahami keputusan Russia mengurangkan gas ke Poland dan Bulgaria ketika anggota kesatuan itu berhasrat mengekalkan bekalan dan pada masa sama mengelak daripada melanggar sekatan dikenakan terhadap Moscow.

Gazprom Russia mengumumkan pemberhentian penyaluran gas kepada kedua-dua negara itu Selasa lalu selepas tidak menerima bayaran dalam mata wang ruble.

Gergasi sektor tenaga itu berkata, kedua negara berkenaan melanggar arahan Presiden Russia, Vladimir Putin supaya pembayaran untuk gas hanya dibuat dalam mata wang Russia, bukannya menggunakan dolar atau euro.

Sebahagian besar permintaan untuk ruble ditafsirkan sebagai muslihat oleh Kremlin bagi membekalkan bekalan gasnya dan mewujudkan kelemahan undang-undang dalam sekatan yang diputuskan oleh EU terhadap Russia susulan pencerobohan ke atas Ukraine.

Bagi mencapai matlamatnya, Russia mengarahkan syarikat tenaga dari 'negara yang tidak mesra dengannya' menukar pembayaran gas mereka kepada ruble di Gazprombank, permintaan yang mengikut beberapa negara EU, termasuk Jerman, tidak melanggar peraturan sekatan.

"Pembayaran akan dibuat dalam euro dan kemudian dipindahkan oleh Gazprombank ke dalam apa yang dipanggil akaun K.

"Itulah jalan yang kita pilih, itulah jalan yang ditunjukkan oleh Eropah kepada kita, itulah jalan yang serasi dengan sekatan," kata Menteri Ekonomi Jerman, Robert Habeck.

Untuk rekod, Jerman sangat bergantung kepada gas dari Russia. Bagaimanapun, bagi negara lain, termasuk Suruhanjaya Eropah yang merangka sekatan untuk EU, amaran dikeluarkan bahawa pindahan itu boleh menjadi satu pelanggaran, meletakkan pengimport gas dalam bahaya dari segi perundangan.

"Jika kontrak menetapkan bahawa pembayaran perlu dibuat dalam euro atau dolar, maka kewajipan syarikat berakhir sebaik sahaja ia membuat pembayaran itu dalam euro atau dolar.

"Sekiranya pembayaran dilakukan dalam ruble, maka kami tidak lagi bercakap mengenai kontrak yang dipersetujui dan kami bercakap mengenai cara pintas mengelakkan sekatan," kata jurucakap EU, Eric Mamer.

Sementara itu, Bulgaria berkata, firma tenaganya enggan memenuhi syarat pembayaran baharu Gazprom dan menyifatkan ia disebabkan 'pengaruh politik'.

"Jika anda melihatnya daripada perspektif korporat, tidak ada orang yang waras yang akan menandatangani (perjanjian) ini," kata Menteri Tenaga Bulgaria, Alexander Nikolov kepada pemberita di Brussels. - AFP

Berita Harian X