Jumaat, 29 April 2022 | 11:12am
Tentera Russia menyerang Kyiv ketika lawatan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres. - Foto AFP
Tentera Russia menyerang Kyiv ketika lawatan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres. - Foto AFP

Russia serang Kyiv ketika lawatan Setiausaha Agung PBB

KYIV: Tentera Russia mengebom ibu negara Ukraine lewat Khamis ketika Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres dalam rangka lawatan ke wilayah itu.

Guterres antara pemimpin yang mengecam pencerobohan Russia ke atas Ukraine dengan menyifatkan sebagai tidak masuk akal pada abad ke-21 ketika Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden meminta AS$33 bilion (RM143 bilion) lagi untuk menyokong Kyiv.

Sekurang-kurangnya tiga orang cedera dalam serangan di bahagian barat bandar itu. Ia juga serangan pertama di ibu negara dalam tempoh hampir dua minggu dan berlaku selepas Guterres melawat Bucha dan pinggir bandar lain yang mana Moscow didakwa melakukan jenayah perang.

Pendakwa raya Ukraine berkata, mereka sedang menjalankan siasatan ke atas 10 askar Russia kerana disyaki melakukan kekejaman di Bucha, yang mana berpuluh-puluh mayat mengenakan pakaian awam ditemui selepas Moscow berundur dan telah mengenal pasti lebih 8,000 kes jenayah perang.

Kes itu membabitkan pembunuhan orang awam, pengeboman infrastruktur awam, penyeksaan dan jenayah seksual yang dilaporkan ketika pendudukan Russia di pelbagai bahagian di Ukraine, kata ketua pendakwa raya, Iryna Venediktova kepada saluran televisyen Jerman.

Di Washington, Biden menggesa penggubal undang-undang AS meluluskan pakej bantuan dengan jumlah yang besar serta mencadangkan undang-undang baharu untuk membenarkan penggunaan aset mewah yang dilucutkan daripada oligarki Russia untuk membayar pampasan kepada Ukraine membabitkan kerosakan yang berlaku sejak Moscow menyerang pada 24 Februari lalu.

"Kos pertempuran ini tidak murah. Tetapi membenarkan pencerobohan akan menyebabkan kosnya lebih tinggi," katanya.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky memuji cadangan Biden sebagai 'langkah penting' dan 'perlu'.

Di kawasan kediaman di Kyiv, wartawan AFP melihat satu bangunan terbakar dan asap hitam memenuhi ruang udara.

"Saya mendengar bunyi dua roket dan dua letupan. Ia adalah bunyi yang seakan sama dengan pesawat udara dan kemudian berlaku dua letupan dengan selang tiga hingga empat saat," kata Oleksandr Stroganov, 34, kepada AFP.

Datuk Bandar, Vitali Klitschko, berkata terdapat 'dua serangan di daerah Shevchenkovsky', satu daripadanya mengenai 'tingkat bawah bangunan kediaman'.

Susulan kejadian itu, tiga individu dikejarkan ke hospital tetapi tahap kecederaan masih belum diketahui.

"Ia adalah zon perang tetapi yang mengejutkan ia berlaku berhampiran kami," kata jurucakap pejabat kemanusiaan PBB, Saviano Abreu,yang dalam perjalanan bersama Guterres kepada AFP.

Katanya, kesemua delegasi itu berada dalam keadaan selamat.

Zelensky berkata, serangan itu berlaku sejurus selepas perbincangannya dengan Guterres.

Katanya, ia adalah percubaan Russia 'untuk memalukan PBB dan semua yang diwakili oleh organisasi itu'.

Jurucakap tentera Russia memberitahu pemberita, tentera Moscow telah melakukan serangan udara terhadap 38 sasaran tentera, memusnahkan tujuh depoh peluru, tetapi tidak menyebut mengenai Kyiv atau wilayah yang lebih besar di sekitar ibu negara.

Dalam pada itu, di Washington, Biden menolak dakwaan yang hangat diperkatakan oleh pegawai Russia dan media kerajaan bahawa Moscow memerangi seluruh Barat, bukan hanya Ukraine.

"Kami tidak menyerang Russia. Kami membantu Ukraine mempertahankan diri daripada pencerobohan Russia," katanya.

Pemimpin AS itu juga mengecam Moscow kerana 'komen tidak masuk akal' mengenai kemungkinan penggunaan senjata nuklear.

Pakej bantuan berjumlah AS$33 bilion yang diminta Biden adalah peningkatan ketara berbanding jumlah sebelumnya.

Sebahagian besar peruntukan berjumlah AS$20 bilion (RM87 bilion) digunakan untuk kelengkapan senjata dan bantuan keselamatan lain, manakala AS$8.5 (RM37 bilion) untuk bantuan ekonomi bagi membantu kerajaan Ukraine berdepan krisis berkenaan. - AFP

Berita Harian X