Khamis, 28 April 2022 | 10:33am
Menara Lakhta Centre, ibu pejabat syarikat gas Gazprom, di St Petersburg, Russia, 27 April 2022. Moscow juga sudah memotong bekalan gas ke Bulgaria dan Poland, dua anggota EU dan NATO yang menyokong Ukraine dalam konflik itu. - Foto EPA
Menara Lakhta Centre, ibu pejabat syarikat gas Gazprom, di St Petersburg, Russia, 27 April 2022. Moscow juga sudah memotong bekalan gas ke Bulgaria dan Poland, dua anggota EU dan NATO yang menyokong Ukraine dalam konflik itu. - Foto EPA

EU menentang pemerasan gas oleh Russia

BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) memberi amaran kepada Russia untuk tidak mengugut atas sokongan organisasi itu kepada Kyiv, selepas Kremlin memotong bekalan gas ke Bulgaria dan Poland.

Amaran itu dibuat ketika Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres tiba di Kyiv untuk bertemu Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky selepas perbincangan dengan Presiden Russia, Vladimir Putin di Moscow untuk meluaskan sokongan kemanusiaan dan memastikan pemindahan orang awam.

Putin sebelum ini memberi amaran sekiranya tentera Barat campur tangan di Ukraine, tenteranya akan bertindak balas dengan segera, selepas memberitahu Guterres bahawa dia masih berharap rundingan dengan Kyiv akan membuahkan hasil.

"Kami mempunyai aset ketenteraan hebat, tetapi akan menggunakannya sekiranya perlu. Itu yang semua orang perlu tahu," kata Putin yang merujuk kepada peluru berpandu balistik dan senjata nuklear Moscow.

Ancaman itu muncul ketika Moscow mendakwa melakukan serangan peluru berpandu di selatan Ukraine untuk memusnahkan sejumlah besar senjata yang dibekalkan oleh Barat.

Serangan tentera Russia menyaksikan ia menawan rangkaian perkampungan di wilayah Donbas, kini menjadi sasaran segera pasukan pencerobohnya.

Moscow juga sudah memotong bekalan gas ke Bulgaria dan Poland, dua anggota EU dan NATO yang menyokong Ukraine dalam konflik itu.

Bagaimanapun, Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, berkata Poland dan Bulgaria kini menerima gas daripada jiran EU mereka.

"Tidak menghairankan bahawa Kremlin menggunakan bahan api fosil untuk cuba memeras ugut kami, tetapi kami bertindak segera, bersatu dan diselaraskan.

"Era bahan api fosil Russia di Eropah akan berakhir," katanya.

Sebelum ini, Putin cuba meningkatkan tekanan dengan menegaskan bahawa Russia hanya akan menerima bayaran untuk gas dalam mata wang rubel, dengan harapan untuk memaksa musuhnya menyokong mata wang mereka. - AFP

Berita Harian X