Rabu, 27 April 2022 | 8:20pm
Gergasi tenaga Russia, Gazprom hari ini berkata ia telah menghentikan semua bekalan gas ke Poland dan Bulgaria yang sangat bergantung selepas tidak menerima bayaran dalam rubel daripada dua anggota EU. - Foto AFP
Gergasi tenaga Russia, Gazprom hari ini berkata ia telah menghentikan semua bekalan gas ke Poland dan Bulgaria yang sangat bergantung selepas tidak menerima bayaran dalam rubel daripada dua anggota EU. - Foto AFP

EU berjanji selaras tindak balas kepada pemberhentian gas Russia

BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) bersedia sekiranya Russia menggantung bekalan gas ke 27 negara blok, selain merancang menyelaraskan tindak balas selepas Gazprom Russia mematikan paip ke Poland dan Bulgaria.

Ketua Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leye, berkata pengumuman Gazprom adalah salah satu percubaan Russia untuk memeras ugut dengan gas.

"Kita bersedia untuk senario ini dan sedang menyusun tindak balas EU yang diselaraskan.

"Rakyat Eropah boleh mempercayai bahawa kita akan bersatu teguh dan bersolidariti dengan negara ahli yang terkesan," katanya menerusi Twitter.

Terdahulu, Gazprom mengumumkan menghentikan gas ke Poland dan Bulgaria selepas tidak menerima bayaran dalam Ruble dari kedua-dua ahli EU.

Bulan lalu, Presiden Vladimir Putin, berkata Russia tidak lagi menerima pembayaran dalam mata wang selain ruble, sebagai tindak balas terhadap sekatan ekonomi Barat terhadap Moscow.

Peperangan itu yang kini memasuki bulan ketiga, mendedahkan tahap kebergantungan EU terhadap gas Russia, yang menyumbang sebanyak 45 peratus daripada import gasnya.

Bulgaria dan Poland, masing-masing berkata mereka akan dapat menampung kekurangan itu daripada sumber lain.

"Kita sedang berusaha untuk memastikan penghantaran alternatif dan tahap penyimpanan yang terbaik di seluruh EU.

"Negara ahli sudah meletakkan pelan kontingensi untuk sebarang kemungkinan dan kini sedang bekerjasama dengan mereka untuk penyelarasan dan solidariti," katanya.

Tambahnya, mesyuarat kumpulan penyelarasan gas sedang berlangsung sekarang. Von der Leyen turut menyelar tindakan sebelah pihak oleh Russia sebagai tidak boleh diterima dan tidak berjustifikasi.

"Sekali lagi ditunjukkan ketidakbolehpercayaan Russia sebagai pembekal gas," katanya. - AFP

Berita Harian X