Isnin, 25 April 2022 | 1:15pm
Kawasan perumahan yang musnah di daerah Irpin, barat laut Kyiv, selepas pencerobohan Russian ke Ukraine. - Foto AFP
Kawasan perumahan yang musnah di daerah Irpin, barat laut Kyiv, selepas pencerobohan Russian ke Ukraine. - Foto AFP

EU cadang sekat import minyak Russia

BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) sedang menyediakan sekatan pintar terhadap import minyak Russia, lapor The Times memetik Naib Presiden Eksekutif Suruhanjaya Eropah, Valdis Dombrovskis.

"Kita sedang mengusahakan pakej sekatan keenam dan satu daripada isu yang kami pertimbangkan ialah beberapa bentuk embargo minyak.

"Apabila kita mengenakan sekatan, kita perlu lakukan dengan cara memaksimumkan tekanan terhadap Russia sambil meminimumkan kerosakan cagaran ke atas kita sendiri," katanya.

Beliau dipetik berkata, butiran terperinci sekatan masih belum dipersetujui namun ia boleh merangkumi sekatan minyak Russia secara beransur-ansur atau mengenakan tarif ke atas eksport melebihi had harga tertentu.

Russia pembekal minyak terbesar di Eropah, membekalkan 26 peratus daripada minyak import EU pada 2020.

Eropah juga mendapat kira-kira satu pertiga daripada tenaga tersedia kasarnya daripada minyak dan produk petroleum, dari sektor pengangkutan hingga pengeluaran bahan kimia.

Ukraine dan beberapa negara EU, termasuk Poland dan Lithuania, mahu larangan minyak dan gas Russia, sementara Jerman dan Hungary menentang sekatan minyak serta-merta.

Minyak dan produk berkaitannya membentuk lebih satu pertiga daripada hasil eksport Moscow tahun lalu.

Pada masa ini, menurut badan pemikir, Bruegel, Eropah membelanjakan kira-kira AS$450 juta (RM1.95 bilion) sehari untuk minyak mentah Russia dan produk ditapis, sekitar AS$400 juta (RM1.74 bilion) sehari untuk gas, dan kira-kira AS$25 juta (RM108 juta) untuk arang batu.

Amerika Syarikat (AS) dan syarikat tenaga Britain sebelum ini mengumumkan tidak lagi mengimport minyak dari Russia ekoran pencerobohannya di Ukraine.

Syarikat-syarikat multinasional Shell dan BP yang berpangkalan di Britain turut menyatakan ia akan menghentikan pembelian minyak dan gas baharu.

Rumah Putih sebelum ini memaklumkan Washington menyertai EU untuk mengenakan sekatan terhadap pemimpin dan diplomat kanan serta anggota pasukan keselamatan Russia.

Pada penghujung Februari lalu juga, AS, Britain, Eropah dan Kanada menyekat akses Russia dalam sistem pembayaran antarabangsa SWIFT sebagai satu lagi sekatan terhadap Moscow kerana menyerang Ukraine.

Sekatan itu akan mengehadkan rizab antarabangsa bank pusat Russia dan bakal dilaksanakan dalam tempoh terdekat. - REUTERS

Berita Harian X