Jumaat, 22 April 2022 | 6:53am
 Foto REUTERS
Foto REUTERS

WHO 'sangat syorkan' pil COVID-19 Pfizer

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) 'sangat mengesyorkan' pil antivirus COVID-19 Pfizer Paxlovid untuk pesakit bergejala sederhana tetapi masih berisiko tinggi dimasukkan ke hospital.

Pengesyoran itu berdasarkan penemuan hasil dua ujian ke atas hampir 3,100 pesakit yang menunjukkan Paxlovid mengurangkan risiko kemasukan ke hospital sebanyak 85 peratus.

Bagaimanapun agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu menyuarakan kebimbangan dengan ketidaksamaan dalam akses vaksin COVID-19, perkembangan itu sekali lagi akan menyebabkan negara berpendapatan rendah dan sederhana terus berada di belakang.

Gabungan nirmatrelvir dan ritonavir Pfizer, gergasi farmasi Amerika Syarikat (AS) adalah "pilihan unggul" rawatan untuk orang yang tidak divaksinasi, warga emas atau orang yang lemah sistem imun dengan COVID-19, kata pakar WHO dalam jurnal perubatan BMJ.

Bagi pesakit sama, WHO juga membuat "syor bersyarat (lemah)" untuk remdesivir, ubat antivirus yang dihasilkan firma bioteknologi AS Gilead yang sebelum ini disyorkan untuk tidak digunakan.

WHO mengesyorkan Paxlovid berbanding remdesivir, serta pil molnupiravir dan antibodi monoklonal Merck.

Rawatan oral Pfizer menghalang kemasukan ke hospital lebih daripada "alternatif yang tersedia, mempunyai lebih sedikit kebimbangan berhubung kemudaratan daripada molnupiravir, dan lebih mudah untuk diberikan daripada remdesivir dan antibodi intravena," kata pakar WHO.

Hasil ujian juga "mencadangkan tiada perbezaan penting dalam kematian" dan "sedikit atau tiada risiko kesan buruk yang membawa kepada pemberhentian ubat."

Pengesyoran terpakai kepada individu berusia 18 tahun ke atas, tetapi tidak kepada wanita hamil atau menyusu.

Ia juga tidak terpakai kepada pesakit yang mempunyai risiko komplikasi yang rendah daripada COVID-19 kerana faedahnya adalah minimum.

Pakar WHO juga enggan memberikan pendapat untuk pesakit yang yang teruk kerana kekurangan data.

WHO turut menekankan batasan rawatan antivirus berkenaan.

"Ubat hanya boleh diberikan ketika penyakit itu berada pada peringkat awal," kata mereka.

Ini bermakna pesakit mesti cepat diuji dan diberi pil berdasarkan preskripsi doktor, sekali gus boleh menimbulkan halangan kepada negara berpendapatan rendah dan sederhana, kata WHO.

Namun pil COVID-19 dilihat sebagai langkah yang berpotensi besar dalam menamatkan pandemik kerana ia boleh diambil di rumah, bukannya di hospital.

Pesakit mesti mula mengambil pil Paxlovid dalam tempoh lima hari daripada permulaan simptom dan perlu mengambilnya selama lima hari.

Remdesivir boleh diambil dalam masa tujuh hari selepas simptom muncul, tetapi ia diberikan secara intravena selama tiga hari.

WHO meminta Pfizer untuk "menjadikan harga dan tawarannya lebih telus" untuk Paxlovid.

Penasihat Kanan WHO, Lisa Hedman, berkata stesen radio NPR melaporkan set pil Paxlovid berharga AS$530 (RM2,274) di Amerika Syarikat. Satu lagi sumber yang tidak disahkan oleh WHO memberikan harga AS$250 (RM1,072) di negara berpendapatan sederhana atas. - AFP

Berita Harian X