Rabu, 20 April 2022 | 9:53pm
Gambar dari udara menunjukkan bangunan yang musnah berlatarkan Loji Besi dan Keluli Azovstal di Mariupol, bandar pelabuhan di Ukraine. - Foto REUTERS
Gambar dari udara menunjukkan bangunan yang musnah berlatarkan Loji Besi dan Keluli Azovstal di Mariupol, bandar pelabuhan di Ukraine. - Foto REUTERS

Penduduk Ukraine tidak gentar tentang Russia

MARIUPOL: Kata dua Russia kepada tentera Ukraine di Mariupol untuk menyerah atau mati tamat petang tadi, tanpa penyerahan bersyarat atau tanda mengalah.

Namun, komander unit dipercayai bertahan di bandar dikepung itu menegaskan tenteranya boleh bertahan hanya beberapa hari atau jam lagi.

Ribuan tentera Russia disokong meriam melancarkan serangan roket bertubi-tubi cuba untuk mara dalam peperangan yang digelar pegawai Ukraine sebagai Pertempuran Donbas, bagi Moscow merebut dua wilayah timur dikuasai puak pemisah.

Komander Briged Marin ke-36 Ukraine, Mejar Serhiy Volyna, antara unit terakhir dipercayai bertahan di Mariupol, menerusi rakaman video dimuat naik di Facebook, meminta bantuan antarabangsa untuk melarikan diri daripada kepungan.

"Ini rayuan kami kepada dunia dan ia mungkin terakhir. Kita mungkin hanya tinggal beberapa hari atau jam saja lagi.

"Unit musuh berpuluh kali lebih besar, mereka mempunyai penguasaan di udara, artileri, tentera di darat, peralatan dan kereta kebal," katanya.

Volyna mendakwa wanita dan kanak-kanak terperangkap di dalam bilik bawah tanah di kilang itu, bercakap di hadapan dinding putih dari dalam bilik yang kedengaran seperti sesak.

Reuters bagaimanapun tidak dapat mengesahkan di mana atau bila video itu dirakam atau siapa yang mungkin berada di dalam bilik itu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata jumlah pelarian melarikan diri dari Ukraine sejak Russia menyerang pada 24 Februari lalu sudah melebihi lima juta dengan lebih separuh adalah kanak-kanak.

Pencerobohan Russia selama hampir lapan minggu gagal menawan mana-mana bandar terbesar di Ukraine.

Moscow terpaksa berundur dari utara Ukraine selepas serangan ke atas Kyiv dipatahkan bulan lalu, tetapi tentera kembali menyerang ke timur, mulai minggu ini. - REUTERS

Berita Harian X