Selasa, 19 April 2022 | 7:50am
Anggota tentera Ukraine menaiki kereta perisai melalui jalan raya di wilayah Donetsk, timur Ukraine. - Foto AFP
Anggota tentera Ukraine menaiki kereta perisai melalui jalan raya di wilayah Donetsk, timur Ukraine. - Foto AFP

Russia lancar serangan ke timur Ukraine - Zelensky

KYIV: Russia melancarkan serangan secara besar-besaran ke timur Ukraine semalam, kata pihak berkuasa di sini.

Ketika ini Moscow memulakan fasa baharu pencerobohannya selepas usaha menawan ibu negara itu gagal.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kempen ketenteraan Russia memfokuskan semula kepada wilayah timur Donbas, yang sebahagiannya dikawal oleh pemisah pro-Moscow sejak 2014.

"Kami kini mengesahkan tentera Russia memulakan pertempuran di Donbas dengan rancangan itu diatur sejak sekian lama.

"Tidak kira berapa ramai askar Russia yang dibawa ke sini, kami akan berjuang. Kami akan tetap mempertahankan diri," kata Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menerusi Telegram lewat malam tadi.

Pihak berkuasa Ukraine turut menggesa penduduk di Donbas untuk menyelamatkan diri dengan lari ke Barat, susulan jangkaan serangan berskala besar bakal berlaku.

Penguasaan ke atas Donbas membolehkan Moscow mewujudkan koridor selatan ke semenanjung Crimea yang didudukinya.

Dalam pada itu, di selatan Donbas, Russia meneruskan usahanya untuk menawan bandar pelabuhan Mariupol yang terkepung dengan pasukan tentera Ukraine yang masih berbaki tetap dengan pendirian mereka untuk terus bertahan.

Semalam, Russia turut menyerang kawasan sasaran di seluruh Ukraine dan membunuh sekurang-kurangnya tujuh penduduk di bandar Lviv.

Sebahagian besar kawasan di Lyiv tidak menjadi sasaran pengeboman sejak Russia melancarkan serangan pada 24 Februari lalu dengan bandar itu menjadi lokasi yang agak selamat bagi mereka yang mencari perlindungan daripada zon perang.

"Bagaimanapun, hari ini kami sedar tidak ada tempat yang selamat di Ukraine. Ia sangat berbahaya," kata seorang kakitangan bank yang hanya mahu dikenali sebagai Natalia kepada AFP selepas serangan itu.

Semalam, Kementerian Pertahanan Russia dilaporkan berkata, tenteranya sudah melakukan serangan di 16 lokasi yang disasarkan. - AFP

Berita Harian X