Isnin, 18 April 2022 | 8:05am
Penduduk bandar pelabuhan di Mariupol melalui bangunan kediaman yang musnah dalam perang Ukraine-Russia . - Foto REUTERS
Penduduk bandar pelabuhan di Mariupol melalui bangunan kediaman yang musnah dalam perang Ukraine-Russia . - Foto REUTERS

4.8 juta penduduk Ukraine jadi pelarian

GENEVA: Agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berharap keamanan dapat segera diwujudkan berikutan lebih 4.8 juta rakyat Ukraine kini menjadi pelarian sejak pencerobohan Russia Februari lalu.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Tinggi PBB Bagi Pelarian (UNHCR) berkata, 4,869,019 juta rakyat Ukraine sudah meninggalkan negara itu dengan pertambahan 32,574 orang menjadi pelarian pada Sabtu lalu.

Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM) PBB berkata, hampir 215,000 orang dengan sebahagian besarnya pelajar dan pekerja warga asing turut melarikan diri ke negara jiran, bermakna lebih lima juta orang secara keseluruhannya sudah meninggalkan Ukraine sejak perang bermula.

"Ia adalah satu krisis perpindahan dan kemanusiaan yang paling pantas pernah berlaku.

"Lebih daripada 2.75 juta pelarian Ukraine mencari perlindungan ke Poland, sementara hampir 740,000 orang berada di Romania," kata kenyataan itu.

Selain itu, seramai 458,654 rakyat Ukraine memasuki Hungary manakala 22,827 orang lagi ke Belarus.

Statistik UNHCR menunjukkan hampir 645,000 warga Ukraine melarikan diri sejak Februari lalu, dengan hampir 3.4 juta berbuat demikian pada Mac dan lebih 830,000 meninggalkan negara itu setakat bulan ini.

Wanita dan kanak-kanak menyumbang sebanyak 90 peratus daripada jumlah pelarian, sementara lelaki berumur 18 hingga 60 tahun layak untuk panggilan tentera dan tidak dibenarkan keluar dari negara itu.

Hampir dua pertiga daripada semua kanak-kanak Ukraine pula dipaksa keluar dari rumah masing-masing, termasuk mereka yang masih berada di dalam negara.

Selain pelarian, IOM menganggarkan 7.1 juta orang meninggalkan kediaman mereka tetapi masih berada di Ukraine.

Untuk rekod, sebelum konflik, Ukraine dihuni lebih 37 juta orang di wilayah yang dikawal di Kyiv, tidak termasuk Crimea.- AFP

Berita Harian X