Sabtu, 16 April 2022 | 7:14am
Warga Ukraine untuk masuk ke Poland ketika meninggalkan negara mereka melintasi sempadan Medyka, semalam. - Foto AP
Warga Ukraine untuk masuk ke Poland ketika meninggalkan negara mereka melintasi sempadan Medyka, semalam. - Foto AP

5 juta melarikan diri dari perang di Ukraine - PBB

GENEVA: Lebih lima juta orang sudah melarikan diri dari Ukraine sejak pencerobohan Russia pada 24 Februari, angka terbaru dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

PBB bagi Pelarian (UNHCR) berkata, seramai 4,796,245 juta rakyat Ukraine melarikan diri merentasi sempadan negaranya, sementara Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) pula memaklumkan hampir 215,000 warga dari negara ketiga juga sudah melarikan diri ke negara jiran.

Eksodus itu adalah krisis pelarian paling pantas berkembang di eropah sejak Perang Dunia Kedua.

Angka dikeluarkan UNHCR meningkat 59,774 orang, berbanding yang dikeluarkan semalam.

Daripada lebih 2.7 juta pelarian Ukraine, hampir enam daripada 10 orang keluar meninggalkan negara itu untuk menuju ke Poland sejak perang bermula.

Lebih 725,000 pula sudah berada di Romania. Angka UNHCR menunjukkan hampir 645,000 warga Ukraine melarikan diri pada Februari, manakala kira-kira 3.4 juta lagi berbuat demikian pada Mac serta lebih 760,000 orang bulan ini.

Golongan wanita dan kanak-kanak menyumbang 90 peratus daripada mereka yang keluar meninggalkan Ukraine, dengan lelaki berusia 18 hingga 60 tahun bersedia untuk menerima arahan tentera dan tidak dibenarkan keluar.

Hampir dua pertiga daripada semua kanak-kanak Ukraine sudah diarah keluar dari rumah mereka, termasuk yang masih berada di dalam negara.

Hampir 215,000 warga negara ketiga atau bukan rakyat Ukraine yang melarikan diri merentasi sempadan, sebahagian besarnya terdiri pelajar dan pekerja asing.

Di luar data kumpulan pelarian, IOM menganggarkan 7.1 juta orang sudah meninggalkan rumah mereka namun masih berada di Ukraine.

Sebelum pencerobohan, Ukraine mempunyai populasi 37 juta di wilayah di bawah kawalan pemerintahnya, tidak termasuk Crimea yang dikawal Russia serta wilayah yang dikawal pemisah pro-Rusia di timur. - AFP

Berita Harian X