Khamis, 14 April 2022 | 4:53pm
Vaksin COVID-19 dihasilkan pembuat ubat Austria-Perancis, Valneva. - Foto AFP
Vaksin COVID-19 dihasilkan pembuat ubat Austria-Perancis, Valneva. - Foto AFP

UK lulus vaksin COVID-19 keluaran Valneva

LONDON: Pihak berkuasa kawal selia United Kingdom (UK), MHRA, memaklumkan Britain meluluskan vaksin COVID-19 baharu yang dikeluarkan oleh firma pembuat ubat Austria-Perancis, Valneva.

Agensi Pengawalselia Ubat-ubatan dan Produk Penjagaan Kesihatan, dalam satu kenyataan, berkata kelulusan itu diberikan selepas vaksin Valneva COVID-19 didapati memenuhi keperluan keselamatan, kualiti dan standard keberkesanan.

Bulan lalu, vaksin COVID-19 Valneva yang menggunakan teknologi tradisional membabitkan virus tidak aktif, menerima kelulusan pertamanya dengan kebenaran kecemasan untuk digunakan di Bahrain.

Dalam perjanjian pembelian tahun lalu, Valneva komited untuk membekalkan kerajaan Teluk sebanyak satu juta dos vaksin.

Firma Austria-Perancis itu turut menandatangani perjanjian dengan Suruhanjaya Kesatuan Eropah (EU) berhubung pembekalan sehingga 60 juta dos pada 2022 dan 2023.

Valneva adalah vaksin coronavirus keenam yang diluluskan oleh UK, selepas AstraZeneca, Pfizer, Moderna, Janssen (Johnson & Johnson) dan Novavax.

"Suruhanjaya bebas mengenai Ubat-ubatan Manusia dan Kumpulan Kerja Pakar COVID-19 sudah mempertimbangkan secara teliti bukti yang disediakan.

"Kita dapati keseimbangan manfaat dan risiko adalah positif," menurut Presiden Suruhanjaya, Munir Pirmohamed, dalam satu kenyataan.

Vaksin itu diluluskan untuk kegunaan individu berusia 18 hingga 50 tahun dengan dua dos diberikan dalam sela waktu sekurang-kurang 28 hari.

Vaksin boleh disimpan pada suhu peti sejuk, sekali gus menjadikannya sesuai digunakan oleh negara yang tidak mempunyai logistik penyimpanan pada suhu yang sangat rendah.

Britain antara negara yang teruk dilanda pandemik global coronavirus, di mana ia mengorbankan lebih 171,000 nyawa.

Lebih 92 peratus penduduk berusia 12 tahun ke atas sudah menerima satu dos vaksin, manakala 86 peratus sudah mendapat vaksin dos kedua dan 68 peratus lagi dos penggalak. - AFP

Berita Harian X