Khamis, 14 April 2022 | 7:54am
Seorang tentera Ukrainian berdiri bersebelahan kereta kebal T-72 BV yang rosak di Donetsk ketika serangan Moscow ke atas Ukraine berterusan. - REUTERS
Seorang tentera Ukrainian berdiri bersebelahan kereta kebal T-72 BV yang rosak di Donetsk ketika serangan Moscow ke atas Ukraine berterusan. - REUTERS

Helikopter, howitzer antara bantuan terkini disalur AS ke Ukraine

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengumumkan tambahan AS$800 juta (RM3.38 bilion) bantuan ketenteraan kepada Ukraine semalam yang antara lain turut meliputi pembekalan helikopter dan artileri berat.

Bantuan diumumkan Biden itu menyusul ketika Russia dijangka menggerakkan serangan lebih hebat di timur Ukraine.

Melalui satu kenyataan selepas berhubung dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menerusi panggilan video, Biden berkata keseluruhan pakej disediakan untuk membantu menangani serangan Russia berjumlah lebih AS$2.5 bilion (RM10.5 bilion).

Katanya, ia termasuklah sistem artileri, peluru, kereta perisai pengangkut personel (APC) dan bot pertahanan pesisir pantai tanpa pemandu.

Biden turut memaklumkan, beliau meluluskan pemindahan helikopter tambahan, malah berkata peralatan dibekalkan kepada Ukraine 'sangat kritikal' kerana negara itu kini berdepan pencerobohan.

"Kita tidak boleh berehat sekarang. Seperti yang saya yakinkan kepada Presiden Zelensky, rakyat AS akan terus berdiri bersama rakyat Ukraine yang berani dalam perjuangan mereka untuk kebebasan," katanya dalam satu kenyataan bertulis.

Pakej terbaharu diumumkan Biden itu termasuklah 11 helikopter Mi-17 yang diperuntukkan untuk Afghanistan sebelum kerajaan disokong AS tumbang tahun lalu. Turut disenarai AS termasuk 18 howitzer 155mm bersama 40,000 peluru artileri, radar artileri balas, 200 APC dan 300 dron 'Switchblade' tambahan.

Malah, ini kali pertama howitzer dibekalkan AS untuk Ukraine.

Jurucakap Pentagon, John Kirby berkata, sesetengah sistem seperti howitzer dan radar memerlukan latihan tambahan memandangkan tentera Ukraine tidak biasa menggunakan kelengkapan tentera AS.

"Kami sedar dengan kekangan masa dan waktu tidak bersama kami," katanya ketika ditanya mengenai jangka masa penghantaran bekalan itu.

Kelmarin, Reuters melaporkan bantuan baharu itu akan dibiayai menggunakan Presidential Drawdown Authority (PDA) yang mana Presiden boleh membenarkan pemindahan itu tanpa kelulusan kongres sebagai tindak balas kecemasan.

John Spencer, seorang pesara utama Tentera AS dan pakar dalam peperangan bandar di Forum Dasar Madison berkata, beliau teruja melihat AS menghantar peluru dan meriam ke Ukraine.

"Anda memerlukan senjata lebih besar dan lebih berkuasa ini untuk menyamai apa dibawa Russia dalam cubaan menawan timur Ukraine," katanya.

Ketika berita tentang bantuan keselamatan terkini keluar, eksekutif dari pembuat senjata terkemuka AS bertemu dengan pegawai Pentagon untuk membincangkan cabaran industri sekiranya konflik Ukraine berlarutan.

Ini termasuk eksekutif dari BAE Systems Plc, General Dynamics Corp, Lockheed Martin Corp, Huntington Ingalls Industries, L3Harris Technologies, Boeing Co, Raytheon Technologies Corp dan Northrop Grumman Corp. - REUTERS

Berita Harian X