Isnin, 11 April 2022 | 9:30am
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy (kiri) dan Canselor Austria, Karl Nehammer, berbicara sambil berjalan sebelum mesyuarat di Kyiv, ketika serangan Russia berterusan di negara itu pada Sabtu lalu. - REUTERS
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy (kiri) dan Canselor Austria, Karl Nehammer, berbicara sambil berjalan sebelum mesyuarat di Kyiv, ketika serangan Russia berterusan di negara itu pada Sabtu lalu. - REUTERS

Austria sasar jadi 'penghubung' selesai konflik Russia-Ukraine

ZURICH: Austria meletakkan sasaran menjadi 'penghubung' antara Russia dan Ukraine untuk mencari jalan damai ke arah menghentikan peperangan berlarutan sejak 24 Februari lalu itu.

Harapan disuarakan Canselor Austria, Karl Nehammer, menjelang pertemuannya dengan Presiden Russia, Vladimir Putin di Moscow hari ini. Sabtu lalu, beliau menemui Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy di Kyiv.

Agensi APA melaporkan Nehammer ketika bercakap kepada pemberita memaklumkan, sasarannya dalam kunjungan ke Moscow untuk berperanan sebagai 'pembina jambatan' antara Russia and Ukraine, mengharapkan dapat berbuat apa sahaja yang mungkin untuk menghentikan perang dan memastikan langkah diambil ke arah mencari keamanan.

Bagaimanapun katanya, peluang untuk mencapai kemajuan itu adalah tipis.

Nehammer pemimpin Kesatuan Eropah (EU) pertama yang akan mengadakan perjumpaan bersemuka dengan Putin sejak pencerobohannya di Ukraine.

"Saya akan bertemu Vladimir #Putin di Moscow esok (hari ini)," tulis Nehammer di Twitter semalam..

"Kami berkecuali dari segi ketenteraan, tetapi (mempunyai) kedudukan yang jelas mengenai perang pencerobohan Russia terhadap #Ukraine.

"Ia mesti dihentikan! Ia memerlukan koridor kemanusiaan, gencatan senjata dan siasatan penuh jenayah perang," tulisnya merujuk kedudukan Austria.

Dalam pada itu, Russia terus membedil sasaran di timur Ukraine ketika Washington menyatakan hasratnya untuk memenuhi permintaan negara itu mendapatkan lebih banyak bantuan ketenteraan dengan menyediakan senjata diperlukan bagi mempertahankan diri daripada serangan.

Russia sehingga kini gagal menawan mana-mana bandar utama Ukraine sejak melancarkan pencerobohannya pada 24 Februari lalu. Ukraine pada masa sama, menyatakan pihaknya mengumpulkan pasukannya di timur bagi serangan besar dan menggesa penduduknya melarikan diri.

Semalam, tentera Russia melepaskan roket ke wilayah Luhansk dan Dnipropetrovsk yang menghancurkan lapangan terbang di bandar Dnipro.

Perkara itu dimaklumkan Gabenor wilayah tengah Dnipropetrovsk, Valentyn Reznichenko.

Menteri Pertahanan Russia berkata, peluru berpandu berketepatan tinggi memusnahkan ibu pejabat batalion Dnipro di bandar Zvonetsky.

Sejak pencerobohan Russia, Zelenskiy merayu kepada kuasa Barat untuk memberikan lebih banyak bantuan ketenteraan dan menghukum Moscow dengan sekatan ketat.

Penasihat Keselamatan Kebangsaan Amerika Syarikat (AS), Jake Sullivan berkata, pihaknya akan memberikan Ukraine senjata diperlukan untuk mengalahkan semula Russia dan menghentikan mereka daripada menawan lebih banyak bandar dan pekan.

Zelenskiy dalam satu wawancara berkata, beliau mempunyai keyakinan penuh kepada pasukan tenteranya, namun tidak yakin mereka akan menerima apa yang diperlukan daripada AS.

Melalui ciapannya di Twitter, Zelenskiy berkata beliau sudah bercakap dengan Canselor Jerman, Olaf Scholz, mengenai sekatan tambahan, selain lebih banyak bantuan ketenteraan dan kewangan untuk negaranya.

Beliau turut berbincang dengan pegawai Ukraine berhubung cadangan untuk pakej baharu berhubung sekatan Kesatuan Eropah (EU) - REUTERS

Berita Harian X