Ahad, 10 April 2022 | 1:30pm
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky. - Foto AGENSI
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky. - Foto AGENSI

Ukraine gesa Barat tingkat sekatan, hantar lebih banyak senjata

KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky mendakwa serangan Russia tidak terhad kepada Ukraine, sebaliknya seluruh Eropah menjadi sasaran.

Sehubungan itu, beliau menggesa negara Barat melaksanakan embargo larangan eksport menyeluruh terhadap produk tenaga Russia dan membekalkan lebih banyak senjata kepada Ukraine.

Dalam ucapannya semalam, Zelensky mendakwa tindakan Russia menggunakan kekerasan adalah 'malapetaka yang akhirnya akan membadai semua pihak'.

"Serangan Russia tidak hanya terhad kepada Ukraine, seluruh Eropah adalah sasaran Russia," katanya.

Ukraine sebelum ini memaklumkan, negara itu bersedia untuk pertempuran lebih sengit dengan tentera Russia yang sedang berkumpul di bahagian timur.

Tentera Ukraine mendakwa, Russia sedang cuba mewujudkan koridor darat dari Crimea yang dirampas pada 2014 hingga ke timur wilayah Donbas yang sebahagiannya dikuasai puak pemisah.

Setakat ini, Russia masih gagal merampas mana-mana bandar utama Ukraine sejak pencerobohan bermula pada 24 Februari lalu, sebelum berundur dari kawasan berhampiran Kyiv dan mengumpul anggota tenteranya di timur.

Zelensky berpandangan, Russia masih akan terus 'berilusi' dan mengerah lebih ramai anggota tentera dan membawa lebih banyak kelengkapan baharu ke Ukraine, sekali gus menggesa Barat melaksanakan lebih banyak sekatan dan memberikan senjata kepada negara itu.

Beberapa bandar di timur Ukraine masih dilanda serangan sengit, menyebabkan puluhan ribu penduduk tidak dapat keluar ke kawasan lebih selamat.

"Ini adalah pertempuran yang sukar, kami percaya dengan perjuangan dan kemenangan kami. Kami sedia bertempur dan pada masa sama mencari jalan diplomatik untuk menamatkan perang ini," kata Zelensky.

Perunding Ukraine, Mykhailo Podolyak, sebelum ini berkata, Zelensky dan Presiden Russia, Vladimir Putin tidak akan bertemu sehingga selepas Russia ditewaskan di timur Ukraine. - AGENSI

Berita Harian X