Sabtu, 9 April 2022 | 8:15am
Pusat Pentadbiran Wilayah Donetsk menunjukkan mayat mangsa serangan peluru berpandu Russia di stesen kereta api di bandar raya Kramatorsk. - Foto EPA
Pusat Pentadbiran Wilayah Donetsk menunjukkan mayat mangsa serangan peluru berpandu Russia di stesen kereta api di bandar raya Kramatorsk. - Foto EPA

52 maut peluru berpandu bedil stesen kereta api Ukraine

KRAMATORSK: Serangan peluru berpandu terhadap sebuah stesen kereta api di timur Ukraine meragut puluhan nyawa, ketika orang awam bergelut menyelamatkan diri kerana khuatir dengan kemungkinan serangan terbaru Russia di bandar raya itu.

Pemimpin dunia mengutuk serangan di Kramatorsk yang juga pusat bandar Donetsk, dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menuduh Russia sebagai dalang 'kekejaman' itu, yang disifatkan Perancis sebagai 'jenayah terhadap kemanusiaan'.

Pihak berkuasa wilayah itu memaklumkan, sekurang-kurangnya 52 individu termasuk lima kanak-kanak terbunuh akibat serangan berkenaan, manakala Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky melaporkan 300 tercedera, dan menyifatkan serangan terbabit sebagai 'kejahatan tanpa batasan'.

Zelensky mendakwa, pengeboman itu sudah dilaporkan di Russia sebelum peluru berpandu mengenai sasaran, dan menggesa tindak balas tegas global terhadap jenayah perang berkenaan serta lebih banyak senjata untuk membalas serangan Moscow.

"Saya yakin kemenangan Ukraine hanya menunggu masa dan saya akan melakukan segalanya untuk memendekkan tempoh itu," katanya.

Wartawan AFP melihat sekurang-kurangnya 30 mayat yang ditutup dengan plastik serta sisa peluru di stesen berkenaan.

Bahagian tubuh badan, serpihan kaca dan bagasi yang ditinggalkan berselerakan di seluruh stesen kereta api itu.

Pusat Pentadbiran Wilayah Donetsk menunjukkan sisa peluru berpandu Russia di stesen kereta api di bandar raya Kramatorsk. - Foto EPA
Pusat Pentadbiran Wilayah Donetsk menunjukkan sisa peluru berpandu Russia di stesen kereta api di bandar raya Kramatorsk. - Foto EPA

Russia menafikan bertanggungjawab terhadap serangan itu, ketika Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen dan Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU), Josep Borrell berada di Kyiv untuk bertemu Zelensky dan melawat lokasi pembunuhan orang awam di bandar Bucha.

Ketika sidang media bersama Zelensky, Von der Leyen menyifatkan Russia kini semakin melumpuh kesan sekatan lebih kukuh, dan Ukraine memiliki 'masa depan Eropah'.

Enam minggu selepas bermulanya pencerobohan Russia, Moscow mengubah fokus ke bahagian timur dan selatan Ukraine selepas tentangan sengit menghalang perancangan merampas Kyiv.

Tentera Russia dilihat sedia membina laluan darat antara Crimea yang dirampas dengan Donetsk dan Lugansk di Donbas yang dikuasai puak pemisah.

Penduduk dan pihak berkuasa Ukraine yang kembali selepas pengunduran Russia di Borodianka berhampiran Kyiv, mula melihat skala kemusnahan di situ, dengan Zelensky mendakwa lebih ramai mangsa ditemui.

Peguam Negara Ukraine, Iryna Venediktova mendakwa konflik di kawasan itu menyebabkan kemusnahan teruk dengan 27 mayat ditemukan daripada dua bangunan yang musnah.

Dakwaan terbaru juga muncul ketika di Obukhovychi barat laut Kyiv, apabila penduduk kampung mendakwa mereka digunakan sebagai perisai manusia. - AFP

Berita Harian X