Khamis, 7 April 2022 | 8:04am
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Pesakit COVID-19 berdepan risiko darah beku: kajian

PARIS: Pesakit COVID-19 mempunyai risiko mengalami darah beku yang serius sehingga enam bulan selepas dijangkiti, walaupun mengalami gejala ringan, menurut satu kajian dalam jurnal perubatan Britain, The BMJ.

Dalam kajian terdahulu sudah menunjukkan bahawa COVID-19 meningkatkan risiko darah beku, tetapi kajian terbaru dalam jurnal perubatan itu menunjukkan berapa lama ancaman itu boleh berlarutan.

Menurut kajian itu, penyelidik membandingkan data daripada lebih sejuta penduduk Sweden yang dijangkiti COVID-19 dari Februari 2020 hingga Mei 2021, dengan lebih empat juta individu yang tidak dijangkiti virus itu.

Mereka mendapati mereka yang dijangkiti virus COVID-19 mempunyai risiko embolisme pulmonari lebih tinggi, bekuan darah yang menyekat arteri dalam paru-paru, sehingga enam bulan selepas jangkitan.

Terdapat juga peningkatan penyakit darah beku dalam urat atau Sindrom Deep Vein Trombosis (DVT) yang biasanya di kaki - sehingga tiga bulan selepas dijangkiti COVID-19.

Berdasarkan kajian yang disesuaikan dengan pelbagai faktor, mereka juga mendapati terdapat peningkatan 33 kali ganda dalam risiko embolisme pulmonari dan lima kali ganda untuk DVT bagi mereka yang dijangkiti virus berkenaan.

Kajian itu juga mendapati mereka yang mengalami gejala ringan akibat COVID-19 dan tidak memerlukan kemasukan ke hospital juga berdepan risiko untuk mengalami embolisme pulmonari dan DVT.

"Risiko alami darah beku adalah lebih tinggi semasa gelombang pertama pandemik berkenaan berbanding ketika ini disebabkan pengambilan vaksinasi dan rawatan lebih baik dari masa ke semasa," menurut penyelidik kajian itu.

Penyelidik berkata penemuan mereka mempunyai 'implikasi dasar utama' bagi menggesa lebih banyak rawatan untuk mencegah penyakit darah beku daripada berkembang, terutamanya dalam kes pesakit COVID-19 berisiko tinggi.

Mereka juga menjelaskan bahawa penemuan kajian itu turut menunjukkan mengenai kepentingan setiap individu mendapatkan vaksin.

Dalam editorial berkaitan juga, penyelidik dari Universiti Glasgow yang tidak terbabit dalam kajian itu menjelaskan, ia memberi peringatan mengenai keperluan untuk terus berwaspada terhadap komplikasi yang berkaitan dengan jangkitan SARS-CoV-2 yang ringan. - AFP

Berita Harian X