Sabtu, 2 April 2022 | 8:49am
Imej diambil daripada rakaman video menunjukkan anggota Kementerian Kecemasan Russia memadamkan kebakaran di depoh bahan api di bandar Belgorod. - REUTERS
Imej diambil daripada rakaman video menunjukkan anggota Kementerian Kecemasan Russia memadamkan kebakaran di depoh bahan api di bandar Belgorod. - REUTERS

Ukraine nafi lancar serangan udara ke depoh bahan api Russia

LVIV: Russia mendakwa Ukraine melancarkan serangan udara terhadap depoh bahan api di bandar Belgorod semalam, dengan Kremlin bimbang tindakan itu boleh menjejaskan rundingan damai.

Pegawai keselamatan tertinggi Kyiv menafikan bertanggungjawab atas dakwaan berkenaan.

Menurut Kementerian Pertahanan Russia, dua helikopter Ukraine menyerang fasilitinya di Belgorod, terletak kira-kira 35 kilometer (km) dari sempadan dengan Ukraine selepas terbang memasuki negaranya pada altitud rendah sekitar jam 5 pagi waktu Moscow.

Serangan dikatakan menyebabkan kebakaran sehingga beberapa mangsa terpaksa dipindahkan.

Namun, pada lewat hari sama Datuk Bandar Belgorod, Anton Ivanov, berkata bomba sedang memadamkan saki-baki terakhir kebakaran.

"Tidak ada ancaman ke atas nyawa manusia dan kesihatan. Semua penduduk boleh kembali ke rumah masing-masing," katanya dalam satu hantaran secara dalam talian.

Di pihak Ukraine, pegawai keselamatan tertingginya menolak tuduhan membabitkan serangan udara terhadap Russia sejak Moscow melancarkan pencerobohan bermula 24 Februari lalu.

Belgorod adalah satu daripada hab logistik utama Russia untuk perang.

"Untuk beberapa alasan mereka berkata kami yang melakukannya, tetapi menurut maklumat diperoleh, ini bukan cerminan kepada realiti," kata Setiausaha Majlis Keselamatan, Oleksiy Danilov.

Terdahulu, jurucakap Kementerian Pertahanan, Oleksandr Motuzyanyk, berkata beliau tidak akan mengesah atau menafikan peranan Ukraine.

"Ukraine kini sedang menjalankan operasi pertahanan ke atas pencerobohan Russia di wilayah mereka dan ini tidak bermaksud Ukraine bertanggungjawab bagi setiap malapetaka di wilayah Russia," katanya.

Sementara itu, Rumah Putih tidak ada ulasan mengenai dakwaan Kremlin berhubung tindakan Ukraine mengebom depot berkenaan, kata Setiausaha Akhbarnya, Jen Psaki.

Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov, berkata Presiden Vladimir Putin sudah pun diberi taklimat mengenai insiden berkenaan.

Peskov menjelaskan, serangan boleh menjejaskan rundingan damai dengan Kyiv.

Berdasarkan rakaman kamera keselamatan dari satu lokasi yang disahkan Reuters menunjukkan, kelihatan pancaran cahaya seperti peluru berpandu yang dilancar dari altitud rendah dan disusuli letupan atas tanah.

Gabenor Wilayah, Vyacheslav Gladkov, berkata kebakaran yang meletus mencederakan dua pekerja. - REUTERS

Berita Harian X