Jumaat, 1 April 2022 | 7:08am
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, dalam perutusan video kepada Parlimen Belgium baru-baru ini. - Foto REUTERS
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, dalam perutusan video kepada Parlimen Belgium baru-baru ini. - Foto REUTERS

Ukraine pecat pegawai kanan tentera

LVIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, mengulangi dakwaan bahawa Russia sedang membina kekuatan tentera di bandar Mariupol yang sudah ditawan dan keadaan di selatan serta wilayah Donbas kini sangat sukar.

Beliau, dalam satu rakaman video, turut memaklumkan sudah memecat dua anggota kanan perkhidmatan keselamatan iaitu ketua keselamatan dalam negeri dan ketua agensi wilayah Kherson, atas alasan kedua-dua mereka adalah pengkhianat.

"Saya tidak mempunyai masa untuk berurusan dengan pengkhianat dan mereka akan dihukum selepas ini.

"Kedua-dua individu itu mengkhianati sumpah mereka untuk mempertahankan Ukraine," katanya tanpa memberi butiran lanjut.

Ini adalah kali pertama Zelenskiy mengumumkan pemecatan berprofil tinggi membabitkan pertahanan Ukraine.

Zelensky yang sering menggunakan kiasan dalam ucapannya, berkata Russia sangat jahat dan ingin melihat kemusnahan, selain mereka seolah-olah berasal dari dunia yang berbeza, 'raksasa yang membakar, merompak dan menyerang serta rakus membunuh'.

Russia bagaimanapun berkata ia hanya menjalankan operasi khas melucutkan senjata selain turut menafikan dakwaan Kyiv bahawa tentera Russia mensasarkan orang awam.

Zelensky berkata tentera Ukraine berjaya menghalau Russia dari Kyiv dan Chernihiv, dua bandar di mana Moscow mengumumkan tidak akan menumpukan serangan bagi membolehkan mereka menawan wilayah Donbas dan Luhansk.

"Akan berlaku pertempuran di barisan hadapan dan kita masih perlu menelusuri jalan yang sukar bagi mendapatkan semua yang kita inginkan.

"Keadaan di selatan dan di Donbas berada dalam keadaan yang sangat sukar," katanya. - REUTERS.

Berita Harian X